RIYADH: Bermula esok, kebanyakan umat Islam di seluruh dunia menyambut ketibaan Ramadan dan sambutan tahun ini disifatkan lebih istimewa berbanding tahun sebelum ini memandangkan banyak negara sudah melonggarkan sekatan Covid-19.
Arab Saudi merupakan antara negara yang sudah melonggarkan semua sekatan Covid-19, menyaksikan umat Islam di negara ini boleh menunaikan solat di masjid, termasuk tarawih atau tahajud sepanjang Ramadan.
Selain itu, bazar Ramadan dan pelbagai aktiviti berkaitan juga boleh diadakan selepas dua tahun negara ini ‘menyambut Ramadan dengan Covid-19’.
Pada 4 Mac 2020, kerajaan Arab Saudi menangguhkan ibadah umrah untuk penduduknya susulan pandemik Covid-19.
Namun, pada Mac tahun ini, Kementerian Kesihatan Arab Saudi menarik balik semua sekatan dan peraturan berkaitan Covid-19, termasuk memakai pelitup muka di tempat umum dan tiada lagi penjarakan sosial di ruang terbuka serta tertutup.
Sehubungan itu, penduduk di negara ini menzahirkan kesyukuran kerana sekali lagi berpeluang menyambut Ramadan seperti sebelum Covid-19 muncul.
“Saya gembira dan bersyukur kerana sekali lagi diberi peluang untuk menyambut Ramadan.
“Apa yang lebih istimewa, Ramadan tahun ini tidak sama seperti dua tahun lalu kerana kami boleh melakukan lebih banyak aktiviti dan sudah tentu situasi itu menggembirakan kami.
“Saya tidak sabar untuk menghabiskan waktu beribadat di dalam masjid kerana setiap masa dalam Ramadan adalah amat berharga,” kata Wid Massoud, 26 tahun kepada Arab News.
Selain itu, Wid juga memaklumkan, Ramadan kali ini lebih bermakna kerana keluarganya boleh berkumpul semula.
Katanya, pandemik Covid-19 dua tahun lepas benar-benar membuka matanya dan berharap situasi itu tidak berulang pada masa akan datang.
SUDAH LAMA TUNGGU
Sejak dua tahun lalu, 35 juta penduduk Arab Saudi tertunggu-tunggu saat semua sekatan Covid-19 dilonggarkan bagi membolehkan mereka ‘kembali kepada kehidupan normal’.
Ketika ini, Arab Saudi merekodkan ratusan kes jangkitan harian Covid-19 berbanding sebelum ini dan keadaan itu meyakinlan pihak berkuasa mengambil pendekatan berani dengan menarik balik kebanyakan sekatan Covid-19.
Seorang lagi penduduk, Saud al-Saud, 26, dari Jeddah menyatakan, keputusan pihak berkuasa menarik balik sekatan Covid-19 menjelang ketibaan Ramadan merupakan langlah paling tepat.
“Saya berpandangan, sangat bagus semua sekatan Covid-19 ditarik balik kerana sepanjang dua tahun ini, masyarakat hidup dalam keadaan tidak menentu dan ketakutan sekiranya dijangkiti koronavirus.
“Saya suka melihat bagaimana Ramadan menyatukan semua orang. Ini kerana, Ramadan merupakan masa untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT,” ujarnya.