KYIV: Ukraine dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan senjata dan meminta Perancis serta Jerman menghantar lebih banyak senjata bagi menghadapi serangan tentera Rusia.
Lapor Daily Mail, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba berkata, pihak tentera negara ini hanya mempunyai bekalan senjata selama dua minggu, sebelum menggunakan bekalan antijet pejuang dan antipeluru berpandu yang dibekalkan dari negara lain.
Jelasnya, situasi itu juga tidak mampu pulih sepenuhnya, biarpun Barat membekalkan senjata tambahan.
Presiden organisasi bukan berasaskan keuntungan, Kongres Dunia Ukraine, Paul Grod berkata, beberapa negara gagal memenuhi permintaan ketenteraan negara ini.
Difahamkan, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengenai Ukraine memerlukan bekalan bantuan selama seminggu dalam tempoh 20 jam.
Sebagai reaksi, Britain akan menghantar 6,000 peluru berpandu dan AS$33 juta (RM139 juta) sebagai bantuan kewangan kepada tentera Ukraine untuk membantu negara itu memerangi tentera Rusia.
Sebelum ini, London menyediakan Kyiv dengan lebih 4,000 senjata antikereta kebal, termasuk Sistem Senjata Antikereta Kebal Generasi Depan (NLAW) yang lebih dikenali peluru berpandu Javelin.
Keadaan terdesak Ukraine juga menyaksikan tentera negara ini terpaksa menggunakan kenderaan dan peralatan tentera Rusia yang ditawan bagi meningkatkan bekalan mereka.
Dalam pada itu, Barat menyatakan pasukan pertahanan Ukraine secara jelas membelanjakan banyak sumber kewangan bagi mendapatkan bekalan senjata, namun langkah itu disifatkan ‘berbaloi’ apabila masih mampu bertahan sehingga kini dalam menentang kemaraan Rusia.
Malah, Pentagon memaklumkan tentera Ukraine sudah mula menyusun strategi serangan yang lebih komprehensif untuk menentang Rusia
Sementara itu, Kakitangan Am Angkatan Tentera Ukraine memaklumkan tentera Rusia membentuk dan memindahkan unit tambahan angkatan tentera Persekutuan Rusia ke sempadan Ukraine.
Jelasnya, langkah tersebut giat dijalankan oleh pegawai tentera di wilayah Smolensk, barat Rusia.
“Anggota tentera yang kembali dari Syria sedang diambil untuk menambah unit serangan,” katanya.
Sebelum ini, pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) percaya kira-kira 15,000 tentera Rusia berkemungkinan terbunuh pada bulan pertama konflik, dengan jumlah yang mengalami kecederaan seramai 40,000 orang.










