WASHINGTON: Syarikat farmaseutikal Pfizer dan BioNTech memohon pengawal selia ubat Amerika Syarikat (AS) memberi kelulusan kecemasan untuk suntikan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 bagi golongan warga emas berusia 65 tahun ke atas.
Menurut syarikat berkenaan, permohonan itu berdasarkan data dari kajian Israel yang mengesyorkan dos penggalak tambahan itu mampu memberikan lebih manfaat kepada golongan warga emas.
Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla menerusi temubual rancangan Face The Nation di stesen televisyen CBS mendedahkan perancangan syarikat tersebut.
“Ketika ini, perlindungan yang anda peroleh daripada suntikan dos ketiga sudah cukup baik untuk mengelakkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19.
“Namun, ia tidak begitu baik untuk melawan jangkitan. Jadi, kami sudah menyerahkan data berkaitan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).
“Kami juga akan mendapatkan pandangan pakar luar mengenai cadangan ini,” katanya.
Pada masa ini, AS menggesa dua suntikan vaksin Covid-19 diikuti dengan dos penggalak beberapa bulan kemudian bagi semua individu berumur 12 tahun dan ke atas.
Permohonan baharu itu bertujuan menambah dos penggalak kedua hanya bagi populasi berusia lebih 65 tahun yang teruk dilanda pandemik Covid-19.
Pfizer mengemukakan permohonan baharu itu berdasarkan data Israel yang sudah menawarkan dos penggalak kedua kepada individu berusia 60 tahun ke atas dan petugas kesihatan.
Jelas Pfizer, analisis rekod kesihatan membabitkan lebih 1.1 juta warga emas Israel menunjukkan kadar jangkitan yang disahkan adalah dua kali lebih rendah.
Malah, katanya, kadar penyakit teruk pula adalah empat kali lebih rendah dalam kalangan individu yang mendapat dos penggalak tambahan berbanding satu dos penggalak sahaja.
Pfizer juga memetik kajian berterusan terhadap petugas kesihatan warga Israel yang menunjukkan tahap antibodi jauh lebih tinggi selepas menerima penggalak kedua.
Setakat ini, AS meluluskan suntikan dos keempat vaksin Covid-19 hanya bagi individu yang mempunyai lemah daya tahan badan.
Sementara itu, Pfizer dilaporkan sedang menghasilkan vaksin yang bakal memberi perlindungan kepada orang ramai daripada sebarang varian pada masa hadapan.
KEHABISAN BEKALAN RAWATAN COVID-19
Sementara itu, kerajaan AS dijangka berdepan kehabisan bekalan rawatan Covid-19 yang dikenali sebagai antibodi monoklonal seawal akhir bulan Mei ini.
Menurut White House, pihaknya juga terpaksa mengurangkan aktiviti dan rancangannya untuk memperoleh bekalan rawatan tambahan melainkan Kongres menyediakan lebih banyak dana.
White House menegaskan bahawa kerajaan juga tidak akan mempunyai wang mencukupi untuk menyediakan dos penggalak tambahan atau vaksin khusus varian tanpa suntikan dana baharu.
Menurut White House, pihaknya sudah memohon dana kecemasan segera sebanyak AS$22.5 bilion (RM94.45 bilion) untuk membendung pandemik Covid-19.
Namun, setelah dibantah oleh Republikan dan Demokrat, wang itu dikeluarkan daripada rang undang-undang pembiayaan kerajaan terbaharu yang diluluskan minggu lalu.
“Kita amat memerlukan wang itu sekarang. Masa semakin suntuk,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran AS yang enggan mendedahkan namanya.
Pegawai itu mendakwa kerajaan pada mulanya merancang untuk menempah kira-kira ratusan ribu dos rawatan monoklonal pada 25 Mac ini.
“Bagaimanapun, tempahan itu mungkin perlu dikurangkan atau dibatalkan tanpa dana baharu,” dakwanya. – AP/REUTERS