COLOMBO: Seekor gajah yang mati ketika berusia 68 tahun dan dianggap paling suci di Sri Lanka, akan diberi penghormatan negara semasa upacara pengebumian haiwan itu.
Lapor The Guardian, Presiden Gotabaya Rajapaksa mengarahkan bangkai gajah itu diawet dan dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.
Nadungamuwa Vijaya Raja atau lebih popular dikenali sebagai Raja dianggap gajah jinak paling besar di Asia.
Rajapaksa turut mengisytiharkan Raja sebagai `khazanah negara’.
“Selepas upacara terakhir dilakukan, bangkai Raja akan diserahkan kepada ahli taksidermis yang akan mengawet haiwan itu kelihatan seolah-olah masih hidup,” katanya.
Raja menjadi antara gajah `terpilih’ yang ditugaskan untuk membawa peti emas peninggalan suci Buddha semasa perarakan tahunan di Sri Lanka.
Selepas berita kematian gajah itu, ratusan penduduk mengunjungi tempat tinggal haiwan tersebut di pinggir Colombo untuk memberi penghormatan terakhir kepada Raja.
Bangkai gajah itu ditutup dengan sehelai kain putih dan dihiasi dengan bunga di sekelilingnya.