SYDNEY: Australia mahu menganggap virus Covid-19 sebagai selesema kerana berhasrat beralih ke fasa baharu hidup dengan wabak tersebut.
Namun, Perdana Menteri Austalia, Scott Morrison berkata, beliau akan berunding dengan pakar kesihatan terlebih dahulu.
“Lapangan terbang kita dibuka semula, ketibaan antarabangsa dibenarkan masuk serta ada pengecualian bagi mereka yang baru pulang buat masa ini. Jadi kita hampir berada di Fasa D,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bermesyuarat dengan pemimpin Kabinet Persekutuan dan negeri bagi membincangkan Fasa D mengenai Pelan Tindakan Pandemik Kebangsaan.
Menurut Morrison, para pemimpin lain juga mahu menggugurkan keperluan menjalani kuarantin bagi kontak rapat kes Covid-19.
Oleh itu, beliau perlu mendapatkan nasihat lanjut mengenai perkara ini daripada panel pakar.
Pegawai Kesihatan di New South Wales menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan subvarian BA.2 baharu Omicron, yang dikatakan boleh membawa dua kali ganda kes harian menjelang akhir bulan, berbanding angka terkini kira-kira 15,000 kes.-AGENSI










