Cuaca panas: Penduduk Kuala Nerang pilih beraya waktu malam

Cuaca panas: Penduduk Kuala Nerang pilih beraya waktu malam

NUR Hazwani Hamid (empat kanan) bersama keluarga menerima kunjungan tetamu dan sahabat handai pada waktu malam untuk meraikan Aidilfitri berikutan cuaca panas pada waktu siang di Kampung Sungai Kechil, Kuala Nerang, Padang Terap. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Cuaca panas yang melanda sejak kebelakangan ini menyebabkan sebahagian penduduk di sekitar Kuala Nerang meraikan Aidilfitri dengan berkunjung ke rumah saudara-mara dan rakan pada waktu malam.

Tinjauan mendapati suasana kunjung-mengunjung selepas waktu Maghrib hingga lewat malam menjadi lebih meriah apabila ramai memilih keluar beraya ketika suhu sudah mulai reda berbanding waktu siang.

Selain lebih selesa, keadaan itu juga memberi peluang kepada ahli keluarga yang bekerja pada siang hari untuk bersama-sama menziarahi sanak saudara.

Seorang penduduk, Nur Hazwani Hamid, 36, berkata, cuaca panas pada waktu siang menyebabkan dia bersama keluarga memilih untuk keluar beraya pada sebelah malam.

“Kalau siang memang terasa bahangnya, jadi kami tunggu selepas Maghrib baru keluar ziarah saudara-mara. Lebih selesa dan anak-anak pun tidak cepat letih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua (gelombang haba) di Padang Terap.

Seorang lagi penduduk, Zulhilmi Aris, 36, berkata, suasana beraya pada waktu malam juga lebih meriah apabila ramai jiran keluar pada masa yang sama.

“Biasanya selepas solat Isyak kami akan mula bergerak dari rumah ke rumah. Kadang-kadang sampai lewat malam kerana banyak rumah yang dikunjungi,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun masa beraya sedikit berubah, tradisi ziarah Aidilfitri tetap diteruskan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga dan jiran tetangga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN