BEIRUT: Israel menyerang tujuh kawasan di pinggir selatan Beirut yang didakwa sebagai kubu kuat Hizbollah dan menahan dua anggota kumpulan disokong Iran itu.
Serangan Israel di Bshamoun yang berada di luar kubu tradisional Hizbollah mengorbankan dua orang dan mencederakan lima yang lain pada Selasa, ketika serangan di pinggir selatan ibu kota berterusan sepanjang malam.
Serangan Israel terdahulu menimpa kawasan mewah penduduk majoriti Kristian, Hazmieh berhampiran Beirut, dengan Israel menyatakan sasaran adalah seorang anggota sayap operasi luar Pengawal Revolusi Republik Islam Iran.
Kawasan mewah itu, menghadap Beirut dan berhampiran istana presiden, menempatkan misi diplomatik, pejabat kerajaan dan bangunan kediaman mewah.
Datuk Bandar, Jean Asmar memberitahu wartawan di lokasi, serangan itu menyasarkan sebuah bilik dalam apartmen yang disewa oleh keluarga yang dipindahkan.
Asmar berkata, serangan itu memaksa pihak berkuasa tempatan mengambil langkah baru berhubung penempatan orang yang dipindahkan akibat perang, supaya insiden serupa tidak berulang.
Siaran langsung AFPTV menunjukkan awan asap di atas pinggir selatan ibu kota, dan agensi berita National News Agency (NNA) melaporkan satu siri serangan di kawasan itu, dengan kehadiran jet-jet pejuang Israel kedengaran di Beirut dan sekitarnya.
Tentera Israel juga mengumumkan menyerang infrastruktur Hizbollah di Beirut selepas menggesa penduduk meninggalkan pinggir selatan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan amaran pemindahan untuk dua bandar berhampiran bandar selatan Tyre.
Lubnan terjerumus ke dalam perang Asia Barat apabila Hizbollah yang disokong Iran mula melancarkan roket ke Israel pada 2 Mac bagi membalas kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan Israel-Amerika Syarikat (AS).
Sejak itu, Israel melancarkan serangan di seluruh Lubnan, mengorbankan sekurang-kurangnya 1,039 orang dan menghantar tentera darat ke selatan negara itu.
“Jet-jet pejuang musuh melancarkan tujuh serangan sepanjang malam di pinggir selatan, menyasarkan kawasan Bir al-Abed, Al-Ruwais di pinggir Al-Manshiyya, Haret Hreik, Lebuh Raya Sayyed Hadi Nasrallah, Saint Therese, Burj al-Barajneh dan Al-Kafaat,” lapor NNA.
Seorang jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan minggu ini perang yang berterusan memindahkan kira-kira satu daripada setiap lima penduduk Lubnan.
Hizbollah turut mengumumkan lebih 50 serangan menyasarkan tentera dan pangkalan Israel di utara Israel dan selatan Lubnan, terutamanya di bandar pesisir sempadan Naqura. – AFP










