JOHOR BAHRU: Majoriti rakyat Singapura yang memandu kenderaan berpendaftaran republik tersebut mengisi minyak petrol RON97 dan elektrik, bukan diesel apabila merentas Tambak Johor untuk berkunjung ke negara ini.
Salah seorang rakyat Singapura yang ditemui, Sukarman Ismail, 73, berkata, tidak ramai rakyat negara itu yang membeli kenderaan menggunakan bahan api diesel.
Katanya, hanya syarikat atau individu yang terlibat dalam perusahaan atau sektor berkaitan mempunyai kenderaan diesel, namun jumlah itu adalah kecil.
“Majoriti rakyat Singapura tidak mempunyai kenderaan peribadi, bagi mereka yang mempunyai kenderaan kebiasaannya adalah kenderaan petrol atau kenderaan elektrik (EV). Jarang sekali orang Singapura pandu kenderaan diesel.
“Disebabkan itu memang sukar lihat kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi diesel di sini (Johor Bahru) walaupun harga diesel di Singapura lebih mahal. Sebaliknya kenderaan petrol memang banyak, itu tidak dinafikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah pesara itu lagi, dia sendiri mengambil peluang untuk memenuhkan tangki kenderaan dengan mengisi petrol RON97 apabila berkunjung ke rumah ahli keluarga atau rakan-rakan di negara ini.
“Sebelum berlaku ketegangan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran lagi, memang saya akan isi minyak penuh sebelum pulang ke Singapura, kini apabila harga bahan api lebih mahal, sudah tentu saya akan isi minyak dahulu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, majoriti rakyat Singapura yang memandu memasuki Malaysia bertujuan untuk beriadah.
“Mereka (rakyat Singapura) masuk ke Malaysia untuk tujuan ‘leisure’, jadi kenderaan digunakan mereka adalah kenderaan petrol. Negara mereka juga merupakan negara bandar dengan rangkaian lebuh raya dan jalan raya yang sesuai untuk kenderaan jenis tersebut.
“Jadi di Johor Bahru tidak timbul isu kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi bahan api diesel di stesen-stesen minyak berhampiran sempadan selatan tanah air, mungkin keadaan berbeza di kawasan lain,” katanya.
Walau bagaimanapun, Lilis Saslinda menasihatkan masyarakat untuk terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa sekiranya berlaku pembelian bahan api sama ada petrol atau diesel yang dibuat dalam kuantiti mencurigakan.
“Orang ramai diminta terus bantu KPDN, jika terdapat sebarang salah laku pembelian bahan api tidak wajar, boleh lakukan aduan beserta bukti agar tindakan sewajarnya diambil.
“Bagi pihak KPDN Johor, seramai 185 hingga 200 penguatkuasa akan terus melaksanakan pemantauan secara berterusan di stesen-stesen minyak khususnya yang berhampiran sempadan bagi memastikan tiada penyelewengan bahan api bersubsidi dibuat mana-mana pihak,” tegasnya. – UTUSAN










