Rusia serang Ukraine Rabu ini? - Utusan Malaysia

Rusia serang Ukraine Rabu ini?

PENUNJUK perasaan melakukan protes membantah pencerobohan Ukraine oleh Rusia di Kyiv. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendesak agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) supaya menunjukkan bukti yang mendakwa Rusia bakal menyerang negara ini dalam tempoh tiga hari iaitu pada Rabu ini.

Pelan pencerobohan tersebut yang dilaporkan oleh akhbar Jerman, Del Spiegel didakwa bakal mendedahkan maklumat terperinci mengenai laluan yang mungkin digunakan oleh pasukan tentera Rusia untuk menawan Ukraine.

Pelan itu juga bakal dianalisis oleh Pentagon dan  Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum diserahkan kepada kerajaan pentadbiran Presiden Joe Biden.

Maklumat pada pelan tersebut mencetuskan ketakutan kepada pelbagai pihak yang bimbang sekiranya berlaku peperangan di timur Eropah.

Sehubungan itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken membuat panggilan telefon kecemasan dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov bagi ‘membincangkan krisis yang berlaku’.

Blinken memberi amaran, sebarang langkah Rusia hanya akan menyebabkan ‘tindak balas bersatu yang menyeluruh’

 

‘TUNJUK KEPADA KAMI’

Dalam pada itu, Zelensky menegaskan AS perlu menunjukkan pelan tersebut sekiranya mereka benar-benar mempunyai maklumat berkenaan.

“Jika anda (AS) mempunyai 100 peratus maklumat mengenai rancangan pencerobohan Rusia di Ukraine, sila tunjukkan pada kami.

“Kami menyedari risiko (serangan) itu ada dan  Ukraine bersedia mengambil semua pendekatan untuk menghalang Rusia,” katanya.

 

MULA TINGGALKAN UKRAINE

Ribuan rakyat Britain, AS dan negara Eropah lain termasuk petugas kedutaan digesa kerajaan masing-masing supaya meninggalkan Ukraine dalam masa terdekat dan memberi amaran, tiada bantuan untuk melakukan proses pemindahan.

Di Britain, beberapa keluarga dan kumpulan pelajar perubatan mula tiba di negara itu dari Ukraine.

Kerajaan Australia dan New Zealand juga menggesa rakyat mereka keluar dari Ukraine bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Petugas kedutaan Australia di Kyiv pula diarahkan supaya berpindah ke pejabat di Lviv di barat Ukraine dan 70 kilometer dari sempadan Poland.

Langkah sama diambil oleh New Zealand apabila kementerian luar negara itu meminta mana-mana rakyatnya yang  berada di Ukraine untuk meninggalkan negara tersebut dan ‘jangan bergantung kepada bantuan pemindahan’.

 

KETEGANGAN MEMUNCAK

Beberapa pihak berpandangan situasi akan semakin memuncak bermula semalam apabila pasukan tentera mula melakukan latihan ketenteraan di Laut Hitam dan Azov.

Latihan itu didakwa boleh ‘menghalang sepenuhnya’ jadual perkapalan antarabangsa.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menegaskan latihan ketenteraan itu mengikut undang-undang maritim antarabangsa.

Kawasan pantai Ukraine di Laut Azov merupakan ‘jambatan penghubung terbaik’ kepada Rusia untuk melancarkan serangan kerana tiada kapal negara lain boleh memasuki kawasan tersebut memandangkan Kremlin mengawal Selat Kerch.

 

AS ‘HISTERIA’

Sementara itu, jurucakap kerajaan Rusia, Maria Zakharova menerusi Telegram menyifatkan White House mengalami ‘histeria dengan paranoid sendiri’.

“Semua provokasi, maklumat yang salah dan ancaman merupakan kaedah kegemaran AS untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri.

“AS takut dengan bayang-bayang sendiri dan perkara itu mencetuskan ketakutan terhadap pelbagai pihak,” ujarnya.

Namun, Zakharova turut mendedahkan Rusia mengurangkan petugas diplomatik di Ukraine kerana bimbang dengan ‘provokasi daripada Kiev atau mana-mana negara ketiga’.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya