Agrobank lancar Agro Penjaja-i perkasa penjaja, usahawan mikro

Agrobank lancar Agro Penjaja-i perkasa penjaja, usahawan mikro

Eksekutif Kanan Perhubungan Awam Agrobank, Fatin Shaheera Mohd Rosli menunjukkan skim pembiayaan mikro AGRO Penjaja-i. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agrobank⁠ hari ini melancarkan Agro Penjaja-i yang dijangka dapat dimanfaatkan oleh 700,000 penjaja dan usahawan mikro di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, produk terbaharu itu diharap dapat memperkasa komuniti perniagaan kecil melalui akses pembiayaan, latihan keusahawanan dan kemudahan digital.

Beliau berkata, data semasa mendedahkan seramai 700,000 penjaja di seluruh negara berdaftar dengan gabungan penjaja dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami menawarkan pinjaman antara RM5,000 hingga RM100,000 bagi membantu penjaja-penjaja mengembangkan perniagaan, memberi peralatan dan memantapkan perniagaan masing-masing,” katanya pada majlis pelancaran Agro Penjaja-i yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sementara itu, Mohamad berkata, inisiatif dilaksana Agrobank ini adalah sebahagian usaha kerajaan bagi membantu peniaga-peniaga kecil dan meringankan bebanan mereka dalam mendepani situasi krisis tenaga ketika ini.

“Usaha ini bertujuan merancakkan ekonomi tempatan kerana kita tahu bahawa krisis tenaga ini kita tidak tahu bilanya ia akan reda,” katanya.

Menerusi Agro Penjaja-i, penjaja dan usahawan mikro berpeluang menikmati pelbagai manfaat termasuk skim pembiayaan mikro sehingga RM100,000 serta kemudahan kredit Cashline-i sehingga RM5,000.

Selain itu, program tersebut turut menawarkan pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan istimewa serendah RM0.50 sebulan berserta laluan khas atau ‘Green Lane’.

Peserta juga berpeluang mengikuti latihan percuma secara dalam talian dan fizikal menerusi program celik kewangan dan celik usahawan selain menerima latihan bimbingan serta pemantauan selama tiga bulan.

Dalam masa sama, Agro Penjaja-i menyediakan khidmat nasihat dan pembiayaan bagi pensijilan halal mengikut garis panduan Syariah serta pakej DuitNow QR SoundBox pada harga serendah RM114.

Sebagai institusi kewangan pembangunan yang komited terhadap pembangunan sektor agromakanan negara, Agrobank akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik komuniti usahawan tempatan melalui penyediaan penyelesaian kewangan yang inklusif, progresif dan berteraskan prinsip Syariah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN