PETALING JAYA: Polis menahan 191 individu termasuk ‘dalang’ pengedar dadah di Pulau Langkawi melalui ‘Op Langka’ bagi membanteras sindiket pengedaran dadah di pulau berkenaan.
Operasi bermula 10 April lalu susukan risikan dan siasatan terperinci sejak Januari lalu, mengenai kegiatan pengedaran dadah di pulau pelancongan itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 231 serbuan dijalankan di sekitar Pulau Langkawi hingga ke Lembah Klang melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam operasi khas itu, JSJN menahan beberapa ‘watak penting’ dengan pertuduhan telah dan akan dibuat.
“Pertuduhan termasuk ke atas sorang suspek di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mempunyai 10 rekod lampau iaitu lima di bawah Seksyen 12(2), empat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan satu di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, tiga lelaki tempatan dan tujuh wanita Thailand turut ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah yang menjalankan aktiviti ‘private party’.
Turut dirampas 82 gram serbuk dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 12.5 gram pil ekstasi, 12.5 gram pil Erimin 5 dan empat gram ketamin.
Katanya, dalam serbuan di Lembah Klang pula, tujuh individu termasuk warga Singapura dan Filipina ditahan.
“Polis turut merampas 170 kilogram bunga ganja dan tujuh kilogram ganja dengan nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan mencecah RM14.1 juta,” katanya.
Hussein berkata, berdasarkan siasatan dan operasi yang dijalankan, pihaknya percaya wujud penglibatan pegawai polis dalam aktiviti pengedaran dadah di Pulau Langkawi.
“Tindakan secara agresif akan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.
Beliau bagaimanapun menyifatkan laporan sebuah akhbar tempatan yang memberikan gelaran “Pablo Escobar” berkaitan aktiviti pengedaran dadah di Pulau Langkawi sebagai tidak tepat.
Ini kerana, katanya, hasil risikan mendapati kumpulan terbabit tidak menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam skala besar dan tidak mempunyai jaringan antarabangsa atau aset luar biasa.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya. – UTUSAN









