Sindiket edar ‘ibu’ heroin bernilai RM4.13 juta tumpas

Sindiket edar ‘ibu’ heroin bernilai RM4.13 juta tumpas

Ibu heroin
HUSSEIN Omar Khan menunjukkan ibu heroin yang dirampas polis daripada sindiket yang mengedarnya untuk menghasilan dadah jenis heroin, pada sidang akhbar dekat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sindiket pengedaran ‘ibu’ heroin tumpas apabila hampir 50 kilogram (kg) bahan itu yang bernilai RM4.13 juta dirampas menerusi tiga siri serbuan serentak di Subang Jaya dan Seri Kembangan serta Permatang Pauh, pada 12 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dilakukan antara pukul 1.24 tengah hari hingga 3.35 petang menahan tiga lelaki tempatan berusia 47 hingga 55 tahun.

Menurutnya, sindiket tersebut dikesan dan polis melakukan risikan terhadap pergerakan mereka selama tiga bulan sebelum membuat tahanan pertama di Subang Jaya dengan menahan sebuah kereta jenis Mazda berwarna putih di tepi Jalan USJ 19/4, Subang Jaya.

“Dalam serbuan tersebut polis menemukan dadah jenis heroin 14.52 kg dan heroin base 920gram (g) serta menahan suspek pertama. Serbuan seterusnya dekat sebuah rumah di Seri Kembangan dan merampas 25.55 kg heroin base serta menahan suspek kedua.

“Suspek ketiga yang merupakan ‘master mind’ ditahan dekat sebuah kedai makan di Permatang Pauh sebelum polis dipandu arah ke sebuah rumah di kawasan sama dan menemukan 7.46 kg heroin base,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Jelasnya, suspek ketiga dipercayai sebagai kepala sindiket yang membawa masuk bekalan dari negara jiran di utara dan menjadikan rumahnya sebagai transit sebelum diedar ke Lembah Klang.

“Kesemua premis berkenaan dipercayai menjadi lokasi transit untuk menyimpan bekalan sebelum diedar kepada sindiket lain dan diproses untuk digunakan kira-kira 6.4 juta pengguna.

“Mereka didapati aktif sejak awal tahun lalu. Suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah dan tujuh berkaitan dadah serta hasil ujian air kencing didapati positif metamfetamin,” jelasnya.

Tambah Hussein, dua lagi suspek masing-masing mempunyai empat rekod jenayah serta empat berkaitan dadah.

“Kesemua suspek ditahan dan direman selama lima hari sehingga 18 Julai dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan maksimum 12 sebatan.

“JSJN masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi hotline JSJN di talian 012-2087222,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN