Guru arah pelajar buka tudung sebelum masuk kelas - Utusan Malaysia

Guru arah pelajar buka tudung sebelum masuk kelas

KUMPULAN pelajar tersebut semasa ditemu ramah wartawan di sebuah kolej di Udupi.-al-Jazeera
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: “Sila keluar”. Itu kata-kata yang dilemparkan seorang guru terhadap pelajar beragama Islam sejurus melangkah ke dalam kelas di Kolej Kerajaan Pra-Univerisiti  di Udupi, Karnataka, selatan India, Disember lalu.

A H Almas, 18, dihalau bukan kerana melakukan kesalahan seperti datang lewat ataupun tidak menyiapkan tugasan, sebaliknya hanya kerana memakai tudung ke sekolah.

“Semasa kami berada di pintu kelas, guru tersebut mengarahkan kami tidak boleh memasuki kelas disebabkan memakai tudung.

“Guru itu sebaliknya menyuruh saya menanggalkan tudung,”luahnya kepada al-Jazeera.

Sejak peristiwa itu, sekumpulan enam pelajar Muslim dari kolej wanita kelolaan Kerajaan Negeri Karnataka di daerah Udupi dipaksa duduk di luar kelas atas alasan pihak pentadbiran menetapkan tudung bukan sebahagian daripada uniform sekolah.

Golongan pelajar itu memberitahu tudung adalah ‘sebahagian bukti keimanan’ mereka dan pemakaian tersebut ‘terjamin di bawah undang-undang’.

Walaupun diasak dengan pelbagai ‘taktik tekanan’ oleh pihak pentadbiran kolej supaya mereka mengalah, namun, mereka tetap dengan pendirian untuk kekal bertudung.

Lantaran itu, kesemua pelajar itu dihukum dengan dianggap tidak hadir ke sekolah sejak 31 Disember lalu, walaupun mereka sebenarnya hadir setiap hari.

Situasi itu menimbulkan keresahan kepada mereka kerana peratusan kehadiran boleh menjejaskan peluang menduduki peperiksaan.

Aliya Assadi berkata, dia tidak akan berganjak dengan pendiriannya untuk terus bertudung ke sekolah.

“Duduk di luar kelas sepanjang hari bukan sesuatu yang menyenangkan dan selesa untuk dibuat.

“Guru dan pelajar lain mengejek kami dengan mempersoalkan masalah sekiranya menanggalkan tudung.

“Kenapa tidak ikut sahaja peraturan kolej? Persoalan mereka itu menyebabkan salah seorang daripada kami jatuh sakit akibat penyeksaan mental,” katanya.

 TERIMA UGUTAN

GAMBAR pelajar Muslim bertudung yang dihalau keluar dari kelas tular dalam media sosial.-al-Jazeera

Bagi pelajar lain, Muskan Zainab, walaupun dia berusaha menentang arahan tersebut, namun dia diugut oleh pengetua dan guru lain dengan memberitahu perkara itu akan menjejaskan karier mereka pada masa depan.

Muskan berkata, dia berasa gembira apabila ‘seluruh dunia’ melihat mereka dipaksa duduk di luar kelas sekali gus menyebabkan arahan pihak kolej menjadi sangat lemah.

Bagaimanapun, tindakan pelajar itu mempertahankan hak asasi dan beragama mereka berdepan diskriminasi, penghinaan serta tentangan hebat.

 ALASAN PENGETUA

Sementara itu, pengetua kolej itu, Rudre Gowda menjelaskan pihaknya tidak membenarkan pelajar tersebut memakai tudung di dalam kelas kerana ‘bukan sebahagian daripada uniform sekolah’.

Katanya, pihak kolej hanya mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan India.

DISKRIMINASI BERLANJUTAN

Larangan bertudung menimbulkan kemarahan di seluruh India apabila kumpulan hak asasi dan pelajar mendakwa pentadbiran kolej berat sebelah terhadap kumpulan minoriti Muslim.

Setiausaha Gerakan Persaudaraan di New Delhi, Afreen Fatima menegaskan pihaknya menyokong sepenuhnya kumpulan pelajar berkenaan.

“Kami tuntut pihak pentadbiran yang menghalang pelajar beragama Islam bertudung digantung serta merta.

“Mereka sepatutnya dibenarkan memasuki kelas dengan memakai hijab kerana ia adalah maruah diri dan penghormatan. Tindakan tersebut jelas adalah Islamophobia dan apartheid,” tegasnya.

Karnataka ditadbir oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi yang mewakili parti politik Bharatiya Janata (BJP).

Sejak bertahun-tahun dahulu, Karnataka menyaksikan peningkatan kontroversi melibatkan nasionalis Hindu yang menyasarkan kumpulan minoriti agama di negara itu, terutamanya Islam dan Kristian.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya