KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin didakwa merupakan antara pemimpin yang mengetahui tentang pendirian awal Pas untuk menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai poster boy dan calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Radzi antara yang hadir di white house (pejabat Datuk Seri Hamzah Zainudin) bersama lima pemimpin Pas lain.
Oleh itu, Wan Saiful berpandangan, Radzi perlu memainkan peranan untuk memaklumkan kebenaran itu kepada Muhyiddin.
“Dalam keadaan sekarang, Radzi sepatutnya mengambil tindakan yang lebih amanah untuk memberitahu pendirian Pas seperti apa yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
“Telah dinyatakan majoriti ahli Parlimen tidak bersetuju Muhyiddin untuk menjadi calon Perdana Menteri. Namun nampak pemimpin Bersatu itu seolah-olah tidak menunaikan amanah bila berlaku percanggahan sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mengimbas kembali pertemuan pemimpin Pas dan Bersatu pada 18 Februari 2025 itu, Wan Saiful memaklumkan antara pemimpin terlibat ialah Radzi, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Wan Ahmad Fayhsal.
Pemimpin Pas pula yang hadir ialah Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Idris Ahmad dan Datuk Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Pas bukan baru semalam dilahirkan. Pas sudah lama memerintah negeri dan punyai pengalaman di Persekutuan. Pas ada kebijaksanaan politik mereka sendiri dan tidak mungkin boleh diperalat oleh sesiapa.
“Menuduh Hamzah atau sesiapa saja mempergunakan Pas adalah bukti mereka menghidap denial syndrome yang serius,” katanya.
Wan Saiful turut mempersoal tindakan bekas Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad yang cuba menyembunyikan hakikat bahawa Muhyiddin tidak mungkin menjadi Perdana Menteri kelapan tanpa pengaruh Hamzah.
“Kenapa tidak sebut bahawa Muhyiddin lupa jasa orang terhadap dia? Marzuki ada di rumah Muhyiddin pada malam 26 Februari 2020, ketika Muhyiddin meminta pertolongan Hamzah untuk bantu cita-citanya menjadi Perdana Menteri. Begitu bersungguh-sungguh Muhyiddin mencari Hamzah.
“Hamzahlah yang mendapatkan sokongan ahli Parlimen Pas dan UMNO hingga Muhyiddin dapat angkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 dengan sokongan 114 ahli Parlimen.
“Hamzahlah yang memujuk Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan menyusun strategik dengan Pas demi memastikan Muhyiddin mendapat majoriti.
“Sementara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya membawa 11 ahli Parlimen PKR. Selebihnya, kerja politik besar itu digalas Hamzah,” katanya.-UTUSAN.










