SETIAP kali kontroversi menyentuh institusi diraja, pastinya perdebatan yang mudah dijangka tercetus di media sosial dan dalam kalangan ahli politik.
Para pengulas, yang kebanyakannya terlatih dalam falsafah politik Barat, segera menyuarakan kebimbangan. Mereka berhujah bahawa titah diraja hanya bersifat istiadat semata-mata, sambil mendakwa sebarang peranan aktif institusi diraja akan mengancam ‘kehendak mutlak rakyat’ dalam sistem demokrasi.
Pandangan ini kelihatan popular, namun mempunyai kelemahan besar. Ia berpunca daripada model politik pasca pencerahan yang berpusat di Eropah dan tidak selaras dengan realiti perundangan Malaysia.
Kerangka ini melihat sistem beraja dan demokrasi sebagai dua kuasa yang bertentangan, sedangkan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah membina hubungan sedemikian.
Titah diraja dan perkenan diraja termaktub dalam Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri.
Untuk memahami fungsi perundangan sebenar titah diraja, pendekatan asing perlu diketepikan. Sebaliknya, pendekatan tafsiran Perlembagaan seperti diputuskan dalam kes Indira Gandhi (2018) perlu diguna pakai melalui kerangka Jurisprudens Watan. Kerangka ini menilai Perlembagaan berdasarkan sejarah dan realiti tempatan secara kesinambungan.
Jurisprudens Watan menegaskan sejarah perundangan negara berkembang secara berterusan. Perkara 181(1) mengiktiraf kedaulatan raja-raja Melayu, manakala Perkara 160(2) dan 162 mentafsir undang-undang sedia ada dalam konteks tempatan. Ini membuktikan Perlembagaan 1957 tidak memusnahkan sistem negeri Melayu, sebaliknya mengekalkan dan mengkodifikasikannya.
Apabila dianalisis melalui realiti tempatan seperti digariskan dalam Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Semakan 1972), jelas Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan yang berdaulat, bukan demokrasi mutlak.
Demokrasi hanya berfungsi sebagai mekanisme pentadbiran yang dikawal dalam kerangka kedaulatan raja-raja Melayu.
Kekeliruan utama berpunca daripada tafsiran kedaulatan. Dalam sistem republik seperti Amerika Syarikat (AS) atau Perancis, kedaulatan terletak sepenuhnya pada rakyat.
Namun di Malaysia, Perlembagaan tidak pernah menobatkan majoriti rakyat sebagai sumber kuasa mutlak. Demokrasi hanya menjadi kaedah memilih wakil dan menggubal undang-undang dalam batas yang ditetapkan lebih awal.
Rakyat memilih wakil melalui pilihan raya, dan Parlimen menggubal undang-undang melalui majoriti. Namun semua proses ini tetap tertakluk kepada kerangka perlembagaan yang dibentuk melalui perkenan diraja. Dengan kata lain, demokrasi beroperasi dalam ruang yang sudah ditentukan oleh sistem beraja berperlembagaan.
Persoalan utama ialah di mana terletaknya kedaulatan sebenar Malaysia. Jawapannya jelas dalam Perkara 181(1). Peruntukan ini menegaskan bahawa kedaulatan, prerogatif dan bidang kuasa raja-raja Melayu kekal dan tidak terjejas, serta terpelihara dalam kerangka Perlembagaan.
Di Negeri Sembilan, institusi raja turut merangkumi Yang di-Pertuan Besar serta Undang Luak yang empat dan Tunku Besar Tampin. Raja-raja Melayu tidak menerima kedaulatan daripada Perlembagaan 1957. Sebaliknya, mereka ialah pengasas Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai wakil kepada Raja-Raja tersebut.
Dari sudut sejarah, negeri-negeri Melayu tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya diklasifikasikan sebagai negeri naungan. Oleh itu, kedaulatan raja-raja Melayu tidak terputus.
Pada 1957, raja-raja Melayu menggunakan kedaulatan sedia ada untuk menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan memberi legitimasi kepada Perlembagaan.
Dengan itu, institusi beraja menjadi sumber autoriti Perlembagaan, manakala demokrasi hanyalah sistem pentadbiran sekunder. Parlimen tidak memiliki kuasa mutlak kerana ia berfungsi dalam kerangka yang dihadkan oleh Perlembagaan, khususnya Perkara 38(4) dan 159(5).
STRUKTUR DIRAJA TIDAK BOLEH DIUBAH
Walaupun sesebuah parti politik memenangi majoriti besar, ia tidak boleh mengubah struktur asas negara sesuka hati. Perkara 66 yang mengabsahkan proses kelulusan undang-undang tidak boleh mengatasi perlindungan khas dalam Perkara 38(4) dan 159(5). Kedua-dua peruntukan ini melindungi kedudukan raja-raja, keistimewaan Melayu serta struktur asas negara.
Pindaan Perkara 66 pada tahun 1994 yang memperkenalkan mekanisme kelulusan secara pentadbiran 30 hari sering disalah tafsir sebagai pengurangan kuasa raja. Namun melalui prinsip generalia specialibus non derogant, peruntukan khusus seperti Perkara 38(4) dan 159(5) tetap mengatasi peruntukan umum. Maka, perkenan diraja masih kekal sebagai elemen sah dalam struktur perundangan.
Majlis Raja-Raja turut bertindak sebagai benteng perlembagaan bagi memastikan majoriti politik tidak meruntuhkan struktur asas negara. Ia mengekalkan kestabilan sistem dan melindungi prinsip asas Perlembagaan daripada perubahan politik yang bersifat sementara.
Dalam tradisi undang-undang Melayu seperti Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang, Raja tidak pernah dianggap berkuasa mutlak tanpa batas.
Raja terikat kepada syariah dan adat. Konsep Zilullah fil-Alam dan Khalifah menegaskan bahawa raja memikul amanah Ilahi untuk menegakkan keadilan dan menjaga kesejahteraan rakyat melalui prinsip syura.
Prinsip ini kekal dalam Perlembagaan moden. Yang di-Pertuan Agong mengangkat sumpah dengan lafaz Wallahi, Billahi, wa Tallahi untuk memelihara agama Islam dan melaksanakan tanggungjawab baginda.
INFOGRAFIK
—————————–
[ SUMBER SEDIA ADA ]
Kedaulatan raja-raja Melayu
(Dikekalkan melalui Perkara 181(1))
│
▼
[ MATRIKS ASAS NEGARA ]
Perlembagaan Persekutuan
│
▼
[ MEKANISME PENTADBIRAN ]
Amalan Demokrasi Berperlembagaan menerusi Parlimen
Apabila raja mengeluarkan titah diraja yang selaras dengan Perlembagaan dan prinsip syariah, baginda tidak mencampuri politik secara sewenang-wenangnya. Sebaliknya, baginda melaksanakan tanggungjawab perlembagaan dan amanah agama untuk menjaga maslahah rakyat.
Model Malaysia ialah sintesis unik yang menggabungkan kedaulatan raja-raja Melayu dengan mekanisme demokrasi terkawal. Ia menolak demokrasi mutlak yang tidak stabil dan pada masa sama menolak monarki mutlak. Perlembagaan bertindak sebagai pengimbang utama.
Apabila titah diraja difahami dalam kerangka ini, institusi beraja tidak lagi dilihat sebagai peninggalan masa lalu. Sebaliknya, ia difahami sebagai tonggak kestabilan negara.
Rakyat memilih wakil mereka, tetapi raja dan Perlembagaan mengekalkan jiwa dan kesinambungan negara. -UTUSAN
DATUK Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Profesor Madya ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) / Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Pengasas Jurisprudens Watan & Fiqh al-Watan.










