AS gantung 44 penerbangan ke China - Utusan Malaysia

AS gantung 44 penerbangan ke China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan 44 penerbangan ke China dari negara itu digantung sebagai tindak balas terhadap keputusan Beijing menyekat penerbangan pesawat AS berikutan kebimbangan COVID-19, semalam.

Lapor AFP, keputusan itu membabitkan empat syarikat penerbangan China iaitu Air China, Xiamen Airlines, China Southern Airlines dan China Eastern Airlines.

Penggantungan itu akan bermula 30 Januari ini dengan penerbangan Xiamen Airlines dari Los Angeles ke Xiamen yang dijadualkan pada hari tersebut serta berkuat kuasa hingga 29 Mac, menurut Jabatan Pengangkutan.

Langkah itu diumumkan kurang tiga minggu sebelum Beijing merasmikan temasya Olimpik Musim Sejuk.

Sejak 31 Disember, pihak berkuasa China sudah menggantung ribuan penerbangan dan meningkatkan ujian saringan Covid-19 selepas ibu kota Beijing mencatat kes jangkitan Omicron pertama hujung minggu lalu.

China mengekalkan kawalan sempadan yang ketat termasuk mengurangkan jumlah penerbangan antarabangsa dan dasar ‘pemutus rantaian jangkitan’ yang akan menyebabkan laluan penerbangan dihentikan jika terlalu banyak jangkitan koronavirus dalam penerbangan tersebut.

Bilangan penerbangan AS yang dibatalkan meningkat sejak Disember, kerana jangkitan disebabkan varian Omicron yang sangat menular menyumbang lonjakan kes rekod tertinggi di AS.

Penguasa penerbangan China menggunakan dasar pemutus rantaian jangkitan untuk membatalkan 20 penerbangan United Airlines, 10 American Airlines dan 14 Delta Air Lines, selepas beberapa penumpang disahkan positif Covid-19 setibanya di negara itu.

Jabatan Pengangkutan AS menjelaskan ‘tindakan yang menjejaskan operasi Delta, American Airlines dan United memberi kesan negatif terhadap kepentingan awam dan harus dibalas sewajarnya oleh jabatan itu.’

“Pesawat AS yang mematuhi semua peraturan China berkaitan protokol sebelum berlepas dan dalam penerbangan, tidak seharusnya dihukum jika penumpang kemudiannya disahkan positif Covid-19 selepas ketibaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya