fbpx

22 Januari 2022, 2:01 am

Varian Omicron tidak terlalu bahaya?

SEORANG penduduk menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah pusat vaksinasi di Franklin Park, Washington. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Beberapa laporan awal berhubung tahap komplikasi varian Omicron menunjukkan
hasil yang agak menggalakkan.

Malah, pakar penyakit berjangkit terkemuka Amerika Syarikat (AS), Dr. Anthony Fauci berkata, data awal diperoleh daripada varian baharu Covid-19 itu juga tidak menunjukkan tahap komplikasi yang begitu teruk.

Beliau bagaimanapun menegaskan terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan dan masih banyak lagi maklumat mengenai varian itu diperlukan.

Beberapa laporan dari Afrika Selatan mendedahkan jumlah kemasukan ke hospital akibat varian Omicron tidak mencatatkan peningkatan yang membimbangkan.

“Walaupun terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan pasti mengenai varian itu, namun, setakat ini, ia kelihatan seperti tidak mempunyai tahap komplikasi teruk.

“Laporan awal ini agak menggalakkan tetapi kita perlu sentiasa berhati-hati sebelum membuat kesimpulan bahawa kurangnya komplikasi atau tidak menyebabkan jangkitan teruk berbanding varian Delta,” katanya.

Omicron yang menimbulkan kebimbangan global mengenai lonjakan jangkitan, pertama kali dikesan di Afrika Selatan.

Penemuan varian itu sekali gus mendorong sebahagian besar negara mengenakan sekatan perjalanan
dan mengambil langkah lain untuk membendungnya.

Dilaporkan, beberapa kajian makmal sedang dijalankan untuk menentukan sama ada varian Omicron lebih mudah merebak berbanding varian lain dan tahap ketahanannya terhadap imuniti.

Hasil keputusan kajian itu dijangka dikeluarkan dalam beberapa minggu lagi.

OMICRON DIKESAN SATU PERTIGA NEGERI AS

Sementara itu, pegawai kesihatan AS memaklumkan varian Omicron kini sudah merebak kira-kira satu pertiga negeri di AS.

Namun, jelasnya, varian Delta masih kekal mendominasi lebih 99 peratus kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di AS.

Berdasarkan perkiraan Reuters, sekurang-kurangnya 15 negeri melaporkan kes berkaitan varian
Omicron iaitu California, Colorado, Connecticut, Hawaii, Maryland, Massachusetts, Minnesota, Missouri, Nebraska, New Jersey, New York, Pennsylvania, Utah, Washington dan Wisconsin.

Kebanyakan kes berkenaan dilaporkan dalam kalangan individu sudah lengkap divaksin yang mana menunjukkan gejala ringan.

Status individu menerima dos penggalak pula belum diketahui.

“Saya rasa terdapat risiko sebenar kita akan menyaksikan keberkesanan vaksin berkurangan.

“Cuma saya tidak pasti betapa besarnya tahap itu, sama ada hasilnya seperti varian Delta yang vaksin masih berkesan atau keberkesanan berkurangan 50 peratus sekali gus memerlukan vaksin baharu,” kata Presiden pengeluar vaksin Moderna, Stephen Hoge kepada ABC News.

Setakat ini, varian Omicron sudah dikesan di kira-kira 40 negara.

VAKSIN UNTUK OMICRON

Beberapa syarikat farmaseutikal kini mula mengusahakan versi vaksin Covid-19 yang khusus untuk menyasarkan varian Omicron.

Pengawal selia AS juga berjanji untuk melakukan semakan pantas namun dikhuatiri boleh mengambil masa beberapa bulan lagi.

Menurut Moderna Inc, pihaknya kini membuat persediaan rapi untuk memfailkan kelulusan AS seawal Mac depan. – AGENSI

POPULAR

KOSMO! TERKINI