Masjid Malaysia di Afghanistan simbol hubungan erat kedua-dua negara - Utusan Malaysia

Masjid Malaysia di Afghanistan simbol hubungan erat kedua-dua negara

DELEGASI NGO Malaysia bergambar kenangan dengan wakil Universiti Salam di tapak projek masjid di Kabul, Afghanistan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Sebuah masjid bernilai RM1.3 juta yang dirancang dibina di sini hasil sumbangan rakyat Malaysia bakal menjadi simbol dan mercu tanda hubungan erat di antara rakyat kedua-dua negara.

Pembinaan masjid itu diharap menjadi pemangkin termetrainya hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Afghanistan.

Masjid setinggi empat tingkat itu bakal dibina hasil kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dengan sebuah universiti wakaf di Kabul iaitu Universiti Salam.

NGO terbabit adalah Muslim Care Malaysia (MCM), Yayasan Amal Malaysia (YAM), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Geng Talaqqi, One Nation dan Yayasan Israq’.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pembinaan masjid itu adalah projek paling utama dilakukan pihaknya sepanjang misi bantuan kemanusiaan ke Afghanistan sejak 12 November lalu.

“Kami melaksanakan beberapa program sepanjang berada di sini. Antaranya, sumbangan makanan dan baju sejuk kepada golongan memerlukan, pembinaan telaga tiub serta tajaan kewangan kepada anak yatim.

“Projek pembinaan masjid yang menjadi sebahagian daripada kompleks baru Universiti Salam ini adalah yang utama dan libatkan kos paling besar,” katanya.

Menurutnya, MCM dan rakan NGO lain nekad dan sepakat melaksanakan projek itu biarpun menyedari ia membabitkan kos tinggi.

“Membina masjid banyak keberkatannya. Di harap hubungan Malaysia dan Afghanistan akan lebih erat, bukan saja di antara rakyat tetapi juga di peringkat kerajaan,” ujarnya.

Sejak tentera Amerika Syarikat (AS) keluar daripada Afghanistan pada 15 Ogos lalu dan pentadbiran kerajaan diambil alih oleh Taliban, Malaysia setakat ini belum memuktamadkan status hubungan diplomatik dengan negara ini.

Qatar, Turki, Itali dan yang terbaharu Jerman sudah memberi pengiktirafan terhadap kerajaan Taliban dan bakal mewujudkan pejabat kedutaan masing-masing di sini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Negeri Afghanistan, Amir Khan Mutaqq kepada Zulkifli pada minggu lalu.

Zulkifli berkata, MCM bersama rakan NGO lain akan mendapatkan sumbangan untuk membina masjid itu dengan cara menawarkan lot wakaf.

“Satu lot berharga RM100 dan saya menyeru semua umat Islam di Malaysia menyumbang untuk pembinaan masjid ini,” jelasnya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun MCM (Maybank 564490413882) dan hantarkan slip transaksi ke nombor hotline MCM 01150050035.

Sementara itu, Canselor Universiti Salam, Dr. Misbahullah Abdul Baqi mengucapkan terima kasih kepada MCM dan NGO lain yang sudi menaja pembinaan masjid berkenaan.

“Alhamdulillah, Allah menghantar rakyat Malaysia membantu kami. Terima kasih. Anda semua adalah saudara Islam kami yang sejati,” katanya.

Majlis perasmian dan pecah tanah untuk pembinaan masjid itu diadakan di tapak projek di pinggir bandar Kabul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya