OSLO: Wartawan Filipina, Maria Ressa dan wartawan Rusia, Dmitry Muratov merangkul Anugerah Nobel Keamanan atas ‘semangat berani’ mempertahankan kebebasan mengeluarkan pandangan di negara masing-masing.
Lapor BBC, jawatankuasa pemilihan menggelarkan pasangan itu ‘mewakili semua wartawan yang berdiri dengan idealisme sama’.
Pemenang menerima ganjaran hadiah bernilai 836,000 pound (RM4.8 juta).
Pengumuman pemenang itu diadakan di Norwegian Nobel Institute di Oslo.
Mereka dipilih daripada senarai 329 calon dari seluruh dunia.
Ressa merupakan pengasas bersama agensi berita Rappler dan sering mendedahkan penyalahgunaan kuasa, kekejaman dan kepemimpinan autokrasi di Filipina.
Muratov pula adalah pengasas bersama akhbar bebas, Novaja Gazeta dan merupakan Ketua Editor berpengalaman selama 24 tahun.
Beliau selama berdekad mempertahankan kebebasan bersuara di Rusia walaupun berdepan situasi yang mencabar di negaranya.










