Sabalenka terus garang di Paris

Sabalenka terus garang di Paris

Aryna Sabalenka
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka meneruskan kecemerlangnya di Terbuka Perancis apabila menyingkirkan bekas juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka untuk melangkah ke suku akhir Roland Garros, semalam.

Sabalenka yang memburu gelaran pertama di gelanggang tanah liat Paris tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan Osaka 7-5, 6-3 dalam aksi pusingan 16 terbaik yang berlangsung di Court Philippe Chatrier.

Kemenangan itu menyaksikan pemain Belarus tersebut mara ke suku akhir Grand Slam buat kali ke-14 berturut-turut dan kekal sebagai satu-satunya juara Grand Slam yang masih bertahan dalam saingan perseorangan lelaki serta wanita di Roland Garros tahun ini.

“Saya tidak menjangka servis saya begitu baik hari ini (semalam). Saya rasa semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan saya sangat gembira dengan prestasi yang dipamerkan,” kata Sabalenka.

Sabalenka bakal berdepan pemain Rusia, Diana Shnaider yang menewaskan Madison Keys 6-3, 3-6, 6-0 bagi merebut tiket ke separuh akhir.

Osaka pula terpaksa berpuas hati dengan pencapaian terbaiknya di Roland Garros setakat ini apabila perjalanan pemain Jepun itu berakhir di pusingan 16 terbaik.

Dalam satu lagi perlawanan wanita, Anna Kalinskaya menyingkirkan Anastasia Potapova 6-4, 2-6, 7-6 (10/7), manakala pemain kelayakan dari Poland, Maja Chwalinska meneruskan kejutan dengan menewaskan wakil tuan rumah terakhir, Diane Parry, 6-3, 6-2.

Sementara itu, saingan lelaki menyaksikan Matteo Berrettini kembali mencuri tumpuan apabila mara ke suku akhir Grand Slam buat kali pertama sejak Terbuka Amerika Syarikat 2022.

Pemain Itali berusia 30 tahun itu menewaskan Juan Manuel Cerundolo 6-3, 7-6 (7/2), 7-6 (8/6) untuk melakar penampilan pertama di suku akhir Roland Garros sejak 2021.

Berrettini yang kini menghuni ranking ke-105 dunia mengakui kecintaannya terhadap tenis menjadi faktor utama untuk terus bangkit selepas melalui pelbagai kecederaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Tenis adalah cinta dalam hidup saya. Jika tidak, saya tidak akan terus kembali selepas semua cabaran dan kecederaan yang pernah saya hadapi,” katanya.

Dia akan bertemu rakan senegara, Matteo Arnaldi, yang mencipta kebangkitan luar biasa sebelum menewaskan Frances Tiafoe dalam pertarungan lima set yang berlarutan selama lima jam 26 minit.

Turut mara ialah Flavio Cobolli yang menundukkan Zachary Svajda 6-2, 6-3, 6-7 (3/7), 7-6 (7/5) dan bakal berdepan pilihan keempat dari Kanada, Felix Auger-Aliassime. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN