PARIS: Kejutan terus berlaku di Terbuka Perancis apabila generasi muda tenis dunia terus mencuri perhatian apabila Jakub Mensik, Rafael Jodar dan Joao Fonseca mara ke suku akhir selepas mencatat kemenangan bergaya di Roland Garros.
Dengan penyingkiran awal Jannik Sinner dan Novak Djokovic, saingan kategori lelaki kini menyaksikan kebangkitan pemain muda yang mula mencabar dominasi pemain elit dunia.
Pilihan kedua kejohanan dari Jerman, Alexander Zverev turut mara ke suku akhir selepas menewaskan Jesper de Jong dari Belanda 7-6(3), 6-4, 6-1.
Bagaimanapun, tumpuan terarah kepada Fonseca yang meneruskan aksi cemerlang selepas mengejutkan Djokovic sebelum ini.
Pemain Brazil berusia 19 tahun itu menewaskan pilihan ke-15 dari Norway, Casper Ruud 7-5, 7-6(8), 5-7, 6-2 dalam pusingan keempat.
Fonseca berkata, dia berdepan cabaran sukar menentang pemain berpengalaman seperti Ruud tetapi berjaya memanfaatkan mata penting dengan baik.
Pemain muda itu merekodkan 51 pukulan kemenangan dan berjaya menyelamatkan tujuh daripada sembilan mata break.
Fonseca bakal bertemu pemain Republik Czech, Jakub Mensik di suku akhir selepas Mensik menyingkirkan pilihan ke-11 dari Russia, Andrey Rublev 6-3, 7-6(6), 4-6, 2-6, 6-3.
Mensik menghasilkan 69 pukulan kemenangan dalam aksi hampir empat jam itu untuk mara ke suku akhir Grand Slam pertama dalam kariernya.
Sementara itu, pemain Sepanyol berusia 19 tahun, Rafael Jodar bangkit daripada ketinggalan dua set sebelum menewaskan rakan senegara, Pablo Carreno Busta 4-6, 4-6, 6-1, 6-2, 6-2.
Jodar tampil lebih konsisten dalam tiga set terakhir dan tidak memberikan sebarang peluang break kepada lawannya.
Pemain pilihan ke-27 itu kini mencatat kemenangan ke-19 di gelanggang tanah liat musim ini dan akan bertemu Zverev dalam suku akhir bagi merebut tempat ke separuh akhir.
Zverev yang dianggap calon utama kejuaraan berkata dia semakin menemui rentak terbaik selepas permulaan perlahan ketika menentang De Jong.
Pemain Jerman itu memburu gelaran Grand Slam pertama selepas tewas di final Roland Garros dua tahun lalu.- AGENSI










