Situasi tegang di Lubnan belum reda - Utusan Malaysia

Situasi tegang di Lubnan belum reda

PASUKAN perubatan membantu orang awam semasa pertempuran bersenjata di Tayouneh, selatan Beirut. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Lubnan mengumumkan semalam sebagai hari berkabung selepas sekurang-kurangnya enam orang maut dan puluhan mangsa lain cedera dalam insiden berbalas tembakan di bandar itu. 

Insiden tembakan itu berlaku ketika kumpulan pejuang Hezbollah mengadakan demonstrasi menentang siasatan mahkamah mengenai kejadian letupan besar di pelabuhan Beirut pada tahun lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 219 orang dan ribuan lagi cedera.

Hezbollah mendakwa hakim yang terlibat dalam siasatan tersebut iaitu Tarek Bitar bersikap berat sebelah, biarpun keluarga mangsa menyokong penyiasatan berkenaan.

Selain itu, Hezbollah juga mendakwa Tarek menyebelahi puak Kristian.

Kumpulan pejuang itu memaklumkan tembakan tersebut dilepaskan oleh kumpulan bersenjata dari militia Kristian yang melancarkan serangan dari atas bumbung bangunan.

Namun, tiada mana-mana pihak tampil mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.

Dalam pada itu, keadaan di sekitar lokasi kejadian di Tayouneh masih dipenuhi dengan serpihan kaca pecah akibat tembakan yang dilepaskan.

Sejumlah keluarga yang meninggalkan kediaman mereka selepas insiden itu berlaku memberitahu mereka tidak berani untuk pulang ke rumah ketika ini.

Hal ini kerana, mereka bimbang jika insiden sama berulang memandangkan sebarang kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Presiden Lubnan, Michel Aon menyifatkan insiden yang berlaku sebagai ‘tidak boleh diterima’, manakala ketua tentera negara ini, Samir Geagea meminta semua pihak bertenang.

“Tentera sudah mengerahkan anggota untuk memburu penyerang yang melepaskan tembakan dan mereka bersedia untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana anggota kumpulan bersenjata,” jelas Samir.

Setakat ini, tentera Lubnan sudah menahan sembilan suspek termasuk seorang rakyat Syria berhubung insiden yang  berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.