Siasat asal usul Covid-19: China bakal uji sampel darah Wuhan - Utusan Malaysia

Siasat asal usul Covid-19: China bakal uji sampel darah Wuhan

PENDUDUK menjalani saringan asid nukleik bagi mengesan jangkitan Covid-19 di Wuhan, Wilayah Hubei. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China sedang bersiap sedia untuk menguji puluhan ribu sampel darah dari tabung darah di bandar Wuhan.

Lapor CNN, menurut seorang pegawai China, usaha itu merupakan sebahagian daripada siasatan mengenai asal usul Covid-19.

Langkah itu dilaksanakan ketika gesaan semakin meningkat untuk mengamalkan ketelusan berhubung isu kemunculan virus.

Lebih 200,000 sampel darah termasuk sampel dari beberapa bulan terakhir 2019 disimpan di Pusat Darah Wuhan.                

Februari lalu, pasukan penyiasat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan sampel darah tersebut berkemungkinan merupakan sumber maklumat penting yang dapat membantu menentukan bila dan di mana virus itu pertama kali menular kepada manusia.

Sampel darah itu akan menyediakan sampel tisu masa nyata dari sebahagian besar penduduk di bandar yang mana SARS-CoV-2 didakwa pertama kali menjangkiti manusia.

Menurut pegawai China, sampel di tabung darah berkenaan disimpan selama kira-kira dua tahun sekiranya diperlukan sebagai bukti dalam sebarang tuntutan mahkamah berkaitan pendermaan darah.

Seorang pegawai dari Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China memaklumkan persiapan bagi proses saringan sampel darah sedang giat dilakukan.    

Beliau juga mengesahkan saringan itu akan berlaku sebaik sahaja had dua tahun sudah berakhir.

“Ini akan memberikan sampel masa nyata terdekat di dunia yang akan membantu kami memahami masa kejadian penularan wabak itu,” kata jurucakap dari Kesihatan Global di Majlis Hal Ehwal Luar, Yanzhong Huang.

Seorang profesor epidemiologi di Columbia University, Maureen Miller pula berpandangan sampel berkenaan sudah pasti mengandungi beberapa petunjuk penting.

Justeru, beliau menggesa kerajaan China membenarkan pakar asing untuk memantau sepanjang proses tersebut.

“Tiada sesiapa akan percaya hasil dilaporkan oleh China kecuali jika ada pemerhati berkelayakan memantau proses tersebut,” katanya.

Julai lalu, ketua pasukan penyelidik China yang bekerjasama dengan pakar penyiasat WHO, Liang Wannian dalam sidang akhbar memaklumkan Beijing akan menguji sampel berkenaan.

Katanya, sebaik sahaja pakar China memperoleh hasil keputusan sampel itu, mereka akan menyerahkannya kepada pasukan penyiasat asing.

Menurut Liang, sampel berkenaan datang dari tiub pembuka beg darah penderma, ditutup rapat dan kemudian disimpan.

Pakar China membuat beberapa penilaian terhadap kaedah pengujian dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan selepas tamat had dua tahun.

Menurut pakar, sampel tersebut sekiranya disimpan dengan baik, mungkin mengandungi petunjuk penting antibodi pertama manusia terhadap jangkitan virus itu. – AGENSI          

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya