PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 650,000 pelajar mengikut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tahun ini sekali gus menyokong usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tahun lalu sahaja, hampir 600,000 pelajar TVET direkodkan dan ia menjadi petunjuk jelas bahawa laluan kemahiran semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, sasaran 650,000 diharap dapat dicapa itu melalui 1,395 institusi TVET di seluruh negara yang menawarkan pelbagai bidang latihan selaras dengan keperluan industri tempatan dan antarabangsa.
“Jumlah kemasukan pelajar ke institusi TVET menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila mencecah kira-kira 587,000 orang pada tahun lalu berbanding hanya sekitar 121,000 pelajar ketika agenda pemerkasaan TVET mula diperkenalkan.
“Peningkatan hampir lima kali ganda ini membuktikan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar terhadap kepentingan TVET semakin bertambah baik.
“Ini merupakan satu pencapaian yang cukup baik dan menunjukkan TVET semakin diterima sebagai laluan pendidikan yang mampu menjamin masa depan pelajar,” katanya selepas meninjau persiapan sambutan Hari TVET Negara 2026 di sini hari ini.
Mengulas penganjuran Hari TVET Negara 2026, Ahmad Zahid berkata, Hari TVET Negara akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini yang
memperkenalkan konsep TVET kepada pelajar institusi TVET serta bakal pemohon yang berminat mengikuti bidang berkenaan.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan sistem TVET negara dapat memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja yang semakin menuntut kemahiran tinggi khususnya dalam sektor strategik dan berteknologi tinggi.
“Matlamat utama kita adalah untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi memenuhi permintaan industri yang memerlukan pekerja berkemahiran daripada Malaysia.
“Secara langsung, usaha ini juga akan membantu meningkatkan gaji permulaan graduan TVET apabila mereka memasuki pasaran pekerjaan,” katanya.
Katanya, walaupun laluan akademik melalui institusi pengajian tinggi awam dan swasta terus diperkasakan, TVET kini diberikan penekanan khusus kerana keupayaannya memenuhi kehendak sebenar pasaran tenaga kerja.
Jelasnya lagi, kerajaan mahu melihat TVET muncul sebagai pilihan utama pelajar selepas tamat persekolahan sekali gus memperkukuhkan agenda pembangunan modal insan negara berasaskan kemahiran dan teknologi. – UTUSAN










