MISC perbaharui sewaan pejabat di Menara Dayabumi bernilai RM433 juta - Utusan Malaysia

MISC perbaharui sewaan pejabat di Menara Dayabumi bernilai RM433 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MISC Berhad (MISC) memeterai perjanjian penyewaan jangka panjang dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi memperbaharui sewaan ruang pejabatnya di Menara Dayabumi, Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM433 juta.

Syarikat perkapalan berkaitan tenaga itu berkata, perjanjian bagi tempoh 15 tahun itu membolehkan MISC memperkukuh penjenamaan serta identiti korporatnya, selain menegaskan komitmen untuk terus beroperasi di bangunan ikonik berkenaan.

Langkah tersebut juga mencerminkan sokongan padu syarikat terhadap usaha memelihara bangunan yang mempunyai nilai sejarah penting di ibu negara.

“Pada masa yang sama, Petronas komited melaksanakan kerja-kerja naik taraf menyeluruh ke atas kawasan umum dan kemudahan dalam bangunan bagi meningkatkan prestasi operasi, memperbaik pengalaman pengguna serta memastikan bangunan itu selari dengan piawaian keselamatan dan kemampanan semasa,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Tempoh perjanjian selama 15 tahun itu merangkumi tempoh awal tiga tahun, diikuti empat tempoh pembaharuan automatik berturut-turut selama tiga tahun bagi setiap satu penggal.

Tambah syarikat itu, beberapa transaksi melibatkan kepentingan Petronas dan syarikat telah dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan sebelum pengumuman tersebut, dengan jumlah nilai transaksi mencecah RM65.81 juta. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN