PETALING JAYA: Pelakon, Rita Rudaini tampil mempertahankan rakan gandingannya, Datuk Rosyam Nor, yang sering membawakan watak lelaki berusia dengan karakter negatif dalam beberapa naskhah drama.
Rita atau Rita Rudaini Mokhtar, 50, yang kini bergandingan bersama Rosyam menerusi drama Jiwa Seorang Pentaksub, berharap penonton dapat menilai mesej yang ingin disampaikan menerusi sesebuah karya, bukannya hanya tertumpu kepada watak yang dilakonkan.
“Nama pun drama. Apa yang dipaparkan hanyalah lakonan dan ia diwujudkan untuk tujuan pengajaran.
“Ambillah mesej yang ingin disampaikan, bukan mencari kesalahan. Kadang-kadang sesuatu pengajaran lebih mudah difahami melalui visual dan penceritaan,” katanya menerusi satu balasan komen di aplikasi Threads.
Rita berkata demikian sebagai mengulas pandangan seorang penonton yang berpendapat Rosyam sering membawakan watak ‘menjijikkan’ bagi memberi kesedaran kepada masyarakat serta menggalakkan mangsa tampil bersuara.
Menurut Rita, khalayak tidak seharusnya terlalu cepat menghukum atau melihat sesebuah karya dari sudut yang sempit, terutama apabila ia mengangkat isu sosial yang berat dan dekat dengan realiti masyarakat.
“Tidak semua perkara perlu dilihat dari sudut negatif kerana matlamat utamanya adalah untuk memberi kesedaran dan pengajaran kepada penonton.
“Di luar sana, lebih banyak kejadian yang lebih jijik berlaku, namun tidak diketahui atau disedari ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Rita sempat berseloroh dengan mengusik pihak yang mungkin terasa atau mempunyai persamaan dengan watak antagonis dalam drama berkenaan.
“Selamat menonton Jiwa Seorang Pentaksub. Yang sama watak ‘Suri’ dalam drama itu, jangan sentap,” katanya.
Drama Jiwa Seorang Pentaksub mengisahkan Datuk Firzan lakonan Rosyam, seorang ahli politik berpengaruh yang obses terhadap kuasa dan wanita.
Di sebalik imej bersih yang dipamerkan kepada masyarakat, dia sanggup memanipulasi keadaan demi memenuhi kehendaknya, termasuk merampas Diana lakonan Sophia AlBarakbah, yang juga teman wanita anak lelakinya sendiri. -UTUSAN










