fbpx

8 Disember 2021, 3:10 pm

  TERKINI

Rusia sokong, tapi belum iktiraf Taliban

SERGEI LAVROV menyampaikan ucapan semasa pembukaan persidangan antarabangsa mengenai Afghanistan di Moscow. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Kerajaan Taliban mendapat sokongan dari 10 negara serantau semasa Persidangan Penderma Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Moscow bagi membantu negara itu membasmi keruntuhan ekonomi dan bencana kemanusiaan.

Persidangan berlangsung kelmarin disertai Rusia, China, Pakistan, India, Iran serta negara Soviet Asia Tengah seperti Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan bagi membantu pembinaan semula negara Afghanistan. 

Kesemua negara terlibat bersetuju penyelesaian dapat dicapai melalui ‘persefahaman’ akibat beban utama yang ditanggung Afghanistan selepas kehadiran tentera asing, 20 tahun lalu. 

Persidangan itu menandakan pertemuan antarabangsa paling bermakna buat Taliban. 

Bagaimanapun, Moscow kecewa dengan ketidakhadiran Amerika Syarikat (AS) semasa persidangan itu. 

AS dan sekutunya menakluk Afghanistan selepas peristiwa serangan 11 September, sebelum diambil semula Taliban Ogos lalu. 

Washington memilih untuk tidak menghadiri persidangan itu atas masalah teknikal, namun, berjanji akan menghadiri persidangan seterusnya. 

Rusia menggesa bantuan antarabangsa serta kebimbangan sebarang konflik yang berlaku di negara itu boleh mengancam kestabilan serantau.

 

RUSIA BELUM IKTIRAF TALIBAN

Dalam pada itu, Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi berkata, negara itu tidak akan membenarkan tanahnya digunakan sebagai pangkalan bagi sesiapa yang mahu mengancam keselamatan negara lain.

Timbalan Perdana Menteri, Abdul Salam Hanafi yang mengetuai delegasi negara menjelaskan ‘mengasingkan Afghanistan bukanlah melibatkan kepentingan seseorang’.

Katanya, pertemuan itu ‘sangat penting bagi memastikan kestabilan di seluruh rantau itu’. 

Walaupun kerajaan di seluruh dunia termasuk Rusia menolak memberi pengiktirafan kepada kerajaan Taliban, namun, persidangan itu menandakan ‘realiti baharu’.

Rabu lalu, Rusia menggesa Taliban membentuk sebuah kerajaan melibatkan semua kumpulan etnik dan parti politik di Afghanistan.

Moscow menegaskan negara itu tidak akan mengiktiraf Taliban sebagai sebuah kerajaan selagi mereka tidak membuktikan pembentukan sebuah kerajaan inklusif. 

Namun, Menteri Luar, Sergey Lavrov berkata, Kremlin tetap mengiktiraf ‘usaha’ Taliban memulihkan keadaan sejak mengambil alih semula negara pertengahan Ogos lalu. 

Katanya, perkara itu penting bagi mencapai keamanan yang berkekalan di negara itu. 

“Pentadbiran baharu berkuasa sekarang dan kami menghargai usaha mereka mengawal keadaan politik dan ketenteraan serta membina semula negara,” jelasnya. 

Persidangan itu berlangsung selepas Moscow memaklumkan Selasa lalu, bahawa Rusia, China dan Pakistan sudi memberikan bantuan kepada Afghanistan.

Lavrov berkata, Rusia akan menghantar bantuan kemanusiaan dan menuntut komuniti antarabangsa mengaturkan sumber bekalan keperluan bagi mengelakkan malapetaka krisis kemanusiaan berlarutan. – AGENSI 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI