Rusia mula siasat nahas pesawat bawa penerjun udara - Utusan Malaysia

Rusia mula siasat nahas pesawat bawa penerjun udara

PASUKAN penyelamat memeriksa bangkai pesawat ringan selepas terhempas di Tatarstan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Pihak berkuasa Rusia sudah memulakan siasatan untuk mengenal pasti punca nahas sebuah pesawat ringan yang membawa sekumpulan penerjun udara terhempas di wilayah tengah negara itu.

Pesawat jenis L-410 yang membawa 22 penumpang terhempas kira-kira 9.20 pagi (waktu tempatan) di Republik Tatarstan pada Ahad lalu.

Seramai 16 orang terbunuh dan enam lagi yang diselamatkan dari bangkai pesawat dilaporkan berada dalam keadaan yang serius.

Agensi berita TASS melaporkan pesawat itu terhempas sejurus ia berlepas dari lapangan terbang.

Beberapa gambar yang dikeluarkan oleh Kementerian Situasi Kecemasan Rusia menunjukkan bangkai pesawat ringan itu terputus dua.

Beberapa media tempatan melaporkan, pesawat dibina pada 1987, dimiliki oleh Persatuan Sukarela untuk Bantuan Tentera Darat, Penerbangan dan Tentera Laut Russia yang merupakan organisasi pertahanan dan sukan.

Sebelum ini, Presiden Tatarstan, Rustam Minnikhanov memaklumkan berlaku kerosakan pada bahagian kiri enjin pesawat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN