Rampasan kuasa tentera Sudan elak perang saudara - Utusan Malaysia

Rampasan kuasa tentera Sudan elak perang saudara

PESERTA protes mengibarkan bendera Sudan semasa berhimpun di Khartoum.AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Ketua Tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan mempertahankan tindakan rampasan kuasa serta pembubaran kerajaan peralihan bagi mengelakkan perang saudara.

Bercakap semasa sidang akhbar pertama sejak pengambilalihan tersebut, Abdel Fattah yang juga Ketua Majlis Tertinggi Sudan berkata, pihak tentera tidak mempunyai pilihan lain untuk memberkas ahli politik yang menghasut untuk menentang angkatan tentera, lapor BBC.

“Ancaman bahaya yang disaksikan minggu lalu boleh menyebabkan negara berada dalam kancah perang saudara,” katanya menerusi siaran televisyen tempatan.

Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok yang dilarikan ke sebuah lokasi rahsia, Isnin lalu bersama barisan Kabinet lain tidak dicederakan.

Lokasi rahsia tersebut rupa-rupanya adalah rumah Abdel Fattah sendiri.

Abdalla bagaimanapun, sudah dibebaskan dan dibawa pulang ke rumahnya di Khartoum, lewat malam Selasa lalu.

Abdalla diletakkan di bawah pengawasan rapi, manakala, menteri dan pemimpin awam lain masih dalam tahanan tentera.

Sehingga kini, tidak dapat dipastikan sama ada Abdalla dibenarkan bercakap dengan media atau menghubungi sesiapa dalam tempoh beberapa hari, menurut sumber pihak tentera.

Perkembangan itu menyusul selepas pelbagai pihak antarabangsa memberi tekanan hebat dengan Amerika Syarikat (AS) menegaskan akan menggantung penyaluran bantuan berikutan rampasan kuasa tersebut.

Berita penahanan itu turut menyebabkan berlaku protes besar-besaran di bandar Khartoum dan Omdurman sehingga mengakibatkan 10 orang maut.

Pergolakan ketika ini berlaku selepas kira-kira dua tahun perkongsian kuasa antara pihak tentera dan pemimpin awam selepas bekas Presiden, Omar al-Bashir digulingkan oleh tentera, April 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya