TOKYO: Kedudukan China jatuh dari tangga pertama ke tangga kesembilan dalam carta Indeks Pemulihan Covid-19 (Covid-19 Recovery Index) disebabkan kelembapan negara itu menangani ‘kaedah kembali kepada kehidupan normal’.
Negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu berada pada kedudukan teratas sejak indeks kali pertama diterbitkan Julai lalu berdasarkan rekod kes yang rendah serta kadar vaksinasi tinggi, lapor Nikkei Asia.
Berdasarkan rekod data rasmi, China sudah memberikan sebanyak 2.2 bilion suntikan vaksin dengan 70 peratus individu sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya.
Bagaimanapun, negara itu tetap melaksanakan kawalan sempadan yang ketat dan kawalan pergerakan terhadap rakyatnya.
China akan melaksanakan perintah berkurung di kawasan yang mempunyai kes jangkitan baharu, mengehadkan bilangan penerbangan dari negara luar serta memanjangkan tempoh kuarantin sehingga tiga atau empat minggu bagi individu yang memasuki negara itu.
Indeks tersebut menilai kaedah pengurusan jangkitan wabak di 121 negara, kadar vaksinasi dan pergerakan sosial.
Situasi itu juga menunjukkan kadar penularan wabak semakin rendah, kadar vaksinasi tinggi dan peraturan penjarakan fizikal dilonggarkan.
Beberapa negara Asia Tenggara menyaksikan peningkatan kedudukan dalam indeks tersebut, dengan jumlah kes semakin menurun dan program vaksinasi berjalan pantas.
Sebagai contoh, Indonesia melonjak ke tangga 54 dari 92, sementara Malaysia di kedudukan 102, berbanding 115 sebelum ini.
Singapura pula di tangga ke-70 diikuti Kemboja (76).
Bagaimanapun, dua negara terakhir masih diduduki oleh negara Asia Tenggara iaitu Filipina dan Laos, sementara Vietnam berada kedudukan empat terbawah.










