Orang selalu nampak hero dan heroin sahaja -  Iman Suhana - Utusan Malaysia

Orang selalu nampak hero dan heroin sahaja –  Iman Suhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Orang selalu nampak hero dan heroin sahaja. Tapi mereka lupa watak-watak lain yang berada di sekeliling itu juga yang membantu menggerakkan cerita sampai ke plot akhir.

“Bila saya baca komen yang cakap ‘alah dia dapat watak itu je’, saya terus terfikir kenapa perkataan ‘je’ itu kedengaran begitu ringan. Sedangkan kita tak tahu apa yang seseorang pelakon perlu buat untuk menghidupkan watak yang diberikan kepadanya.”

Demikian kata pelakon dan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengarahan Teater, Iman Suhana, 36, ketika diminta mengulas tanggapannya terhadap pandangan segelintir pihak yang sering memandang rendah watak sampingan.

Baginya, setiap watak mempunyai cabaran tersendiri tanpa mengira besar atau kecil peranan watak sedemikian dalam sesebuah naskhah.

Menurut Iman, pandangan tersebut dikongsikannya selepas membaca satu komen yang memperlekehkan seorang pelakon hanya kerana menerima watak sampingan.

Komen itu membuatkan dia berfikir tentang cara masyarakat melihat sesuatu watak dalam sesebuah drama.

“Ramai orang fikir kalau dapat watak hero atau heroin, itulah yang paling susah. Tapi mereka tidak nampak watak-watak sampingan yang sama-sama bekerja keras untuk menjayakan cerita itu.

“Kalau semua orang jadi hero dan heroin, cerita itu tidak akan bergerak. Mesti ada sebab kenapa penulis wujudkan watak-watak lain dalam cerita tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Iman, perkara seperti itu sebenarnya sering dibincangkan ketika dia mengikuti pengajian teater dahulu. Pensyarah juga banyak menekankan kepentingan memahami setiap watak yang diberikan.

“Pensyarah saya selalu pesan, ada sebab mengapa setiap watak itu wujud. Tidak ada satu pun watak yang dimasukkan dalam cerita tanpa tujuan.

“Walaupun watak itu cuma muncul beberapa babak, dia tetap ada fungsi dia sendiri. Sebab itu kita perlu faham kenapa dia berada dalam cerita tersebut,” katanya.

Jelas pelakon Takdir Yang Tertulis itu lagi, ramai tidak sedar bahawa watak sampingan kadangkala memerlukan usaha yang lebih besar untuk dibina.

Hal Ini dikatakan demian kerana tidak semua maklumat mengenai watak tersebut diberikan secara lengkap dalam skrip.

“Kadang-kadang, watak sampingan ini tidak banyak penerangan dalam skrip. Jadi, kita sendiri yang kena fikir siapa dia dan macam mana kehidupan dia sebelum ini.

“Kita kena tahu dia datang daripada keluarga macam mana, apa yang dia pernah lalui dan kenapa dia jadi macam itu. Semua benda itu membantu kita menghidupkan watak tersebut.

“Bila kita baca skrip, kita bukan tengok watak kita sahaja. Kita perlu tengok juga hubungan dia dengan hero, heroin dan watak-watak lain. Dari situ, baru kita faham apa peranan dia dalam cerita itu. Barulah kita tahu macam mana nak bawa watak tersebut dengan betul,” jelasnya.

Ujar Iman, setiap watak mempunyai graf atau perjalanan tersendiri yang perlu dijaga sepanjang penceritaan berlangsung. Perkara itu antara yang paling kerap ditekankan oleh tenaga pengajar ketika dia belajar teater.

“Walaupun watak itu bukan watak utama, dia tetap ada graf dia sendiri. Dia tetap ada perjalanan hidup yang perlu kita faham sebagai pelakon. Kalau kita tidak jaga graf itu, watak tersebut akan nampak kosong. Akhirnya penonton pun susah mahu percaya dengan apa yang mereka lihat,” katanya.

Iman berkata, masyarakat kadangkala terlalu cepat membuat penilaian berdasarkan apa yang mereka lihat di skrin. Sedangkan proses yang dilalui oleh setiap pelakon jauh lebih panjang daripada yang disangka.

“Orang nampak hasil akhirnya sahaja. Mereka tak nampak proses yang perlu dilalui untuk membina sesuatu watak.

“Sebab itu saya rasa kita tak boleh terlalu mudah memperkecilkan usaha orang lain. Kita tak tahu apa yang mereka lalui untuk menjayakan watak tersebut,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Iman mengakui dia masih sering menerima tawaran membawakan watak bimbo yang sinonim dengan dirinya sejak awal kemunculan dalam industri. Namun dia tidak pernah melihat perkara itu sebagai satu kekurangan.

“Kalau orang masih bagi saya watak seperti itu, saya anggap itu satu kepercayaan. Maksudnya mereka percaya saya boleh buat watak tersebut dengan baik.

“Saya tidak pernah kisah sangat orang mahu label saya macam mana. Yang penting saya dapat melakukan kerja yang saya suka.

“Sebenarnya saya masih berlakon macam biasa. Cuma biasalah dalam industri ini, kadang-kadang ada tawaran dan kadang-kadang kita berehat sekejap sebelum dapat projek baharu,” ujarnya.

Berkongsi perkembangan terkini, Iman kini sedang menjalani penggambaran drama baharu arahan Osman Ali untuk TV3. Menariknya, dia sekali lagi diberikan watak yang dekat dengan imej yang sering dikaitkan dengannya.

“Sekarang saya tengah dalam penggambaran dengan Abang Osman Ali untuk drama baharu TV3. Dan kali ini saya dapat watak bimbo juga.

“Tapi saya tidak ada masalah dengan perkara itu. Bila orang bagi watak begitu kepada saya, saya anggap mereka percaya saya boleh menjayakannya,” jelasnya.

Bagaimanapun, Iman tetap berharap dapat mencuba lebih banyak jenis watak pada masa hadapan. Baginya, setiap peluang baharu adalah ruang untuk terus belajar dan berkembang.

“Sudah tentu saya mahu cuba watak-watak lain juga. Sebagai pelakon, kita sentiasa mahu cabar diri untuk buat sesuatu yang berbeza. Tapi apa sahaja watak yang diberikan, saya tetap bersyukur. Sebab bagi saya, setiap watak ada nilai dan cabarannya yang tersendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN