KPT, KKM diarah selesai segera isu graduan farmasi PharmD

KPT, KKM diarah selesai segera isu graduan farmasi PharmD

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) memuktamadkan segera penyelesaian isu pengiktirafan kelayakan program Doktor Farmasi (PharmD) Universiti Alexandria, Mesir.

Perdana Menteri berkata, beliau mengambil maklum mengenai aduan pelajar bidang farmasi di universiti berkenaan berhubung status pengiktirafan kelayakan program tersebut bagi tujuan pendaftaran dan amalan profesional di Malaysia.

Kata beliau, perkara ini perlu diberi perhatian serius dalam mencari penyelesaian supaya kebajikan dan masa depan pelajar tidak terjejas.

“Ketika ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tidak mempunyai halangan terhadap pengiktirafan akademik program berkaitan. Bagaimanapun, pengiktirafan profesional untuk tujuan pendaftaran sebagai ahli farmasi memerlukan pertimbangan dan persetujuan Lembaga Farmasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Katanya, penyelesaian secara menyeluruh perlu dibuat dengan mengambil kira kepentingan pelajar serta keperluan mengekalkan standard profesional yang ditetapkan dalam bidang farmasi.

Langkah itu selaras dengan gagasan Madani yang memfokuskan prinsip keadilan, ihsan dan kebijaksanaan dalam setiap keputusan yang memberi kesan kepada masa depan rakyat.

Terdahulu, media melaporkan empat pelajar terbabit tidak dapat menduduki peperiksaan ‘Poison Law’ pada tahun lalu ketika berada di tahun keempat pengajian susulan program yang diikuti mereka tidak diiktiraf oleh Lembaga Farmasi Malaysia (LFM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN