5 bilion penduduk hadapi krisis air menjelang 2050 - Utusan Malaysia

5 bilion penduduk hadapi krisis air menjelang 2050

GOLONGAN petani mengisi air ke dalam tangki trak untuk menyiram tanaman di kejiranan Akkuzulu, Ankara, Turki.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran lebih lima bilion penduduk berdepan krisis mendapatkan bekalan air menjelang 2050.

Ketua Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) PBB, Petteri Taalas berkata, seramai 3.6 bilion penduduk dunia berdepan masalah itu dalam tempoh sebulan setiap tahun.

Oleh itu, beliau menggesa pemimpin dunia merintis usaha menyelesaikan krisis air sempena Persidangan Perubahan Iklim COP26.

Laporan ‘Perkhidmatan Iklim 2021:Air’ diterbitkan beberapa minggu sebelum COP26 atau Persidangan Perubahan Iklim PBB berlangsung dari 31 Oktober hingga 12 November depan di Glasgow.

WMO menegaskan, dalam tempoh 20 tahun lalu, paras air di atas tanah iaitu permukaan, separa permukaan, salji dan ais, susut pada kadar satu sentimeter setiap tahun.

Penyusutan terbesar berlaku di Antartika dan Greenland serta kebanyakan lokasi yang mempunyai altitud rendah dan dipenuhi penduduk turut dilanda masalah sama.

Menurut Taalas, isu keselamatan air bakal mengundang kesan besar memandangkan hanya 0.5 peratus daripada air di dunia boleh digunakan dan tersedia dalam bentuk semula jadi.

“Peningkatan suhu menyebabkan kadar penyejatan pada peringkat global dan serantau berubah, sekali gus menyaksikan corak hujan dan musim pertanian beralih.

“Maka, ia mencetuskan kesan kepada aspek keselamatan makanan, kesihatan serta kebajikan manusia,” jelasnya dalam sidang akhbar.

CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Dalam pada itu, bahaya yang berkaitan air seperti bencana banjir meningkat 134 peratus berbanding dua dekad lalu.

“Kita mempunyai tambahan kelembapan sebanyak tujuh peratus di atmosfera disebabkan pemanasan global ketika ini dan menyumbang kepada banjir,” ujarnya.

Kebanyakan kes kematian akibat bencana banjir dan kerugian ekonomi direkodkan di Asia yang memaksa sistem amaran banjir diperkukuhkan.

Dalam masa sama, berlaku peningkatan sebanyak 30 peratus dan tempoh kemarau sejak 2000, dengan Afrika menjadi negara paling teruk terjejas.

Bagi menangani masalah itu, Taalas menggesa negara yang menyertai Persidangan COP26 memainkan peranan masing-masing dan bukan sekadar mengadakan perbincangan tanpa disusuli sebarang tindakan.

Katanya, kebanyakan pemimpin dunia hanya cakap tak serupa bikin mengenai perubahan iklim.

“Kita tidak boleh menunggu sedekad lagi baru hendak mengambil tindakan.

“Ini juga adalah mesej kepada China yang menyatakan komitmen menjadi sebuah negara neutral karbon menjelang 2060, namun tidak mempunyai sebarang perancangan utuh dalam tempoh beberapa dekad akan datang,” ulasnya.

Keutamaan penting di COP26 adalah meningkatkan tahap matlamat dalam perubahan iklim.

Malah, banyak perkara perlu dilakukan untuk pengubahsuaian terhadap iklim kerana trend negatif dalam pola cuaca akan berlanjutan selama beberapa dekad akan datang, susulan kecairan glasier dan peningkatan paras air laut.-AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya