PAPAR: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta pembangunan jelapang padi di seluruh negeri.
“Sesuai dengan semangat Pesta Kaamatan yang menghargai hasil tuaian, sektor pertanian kekal sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
“Ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan sekuriti makanan kekal kukuh, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia pada masa ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Papar, di sini, hari ini.
Beliau menggalakkan rakyat supaya terus menyokong produk tempatan khususnya hasil pertanian negeri sebagai langkah memperkukuh ekonomi domestik.
Katanya, kemajuan yang dicapai tidak akan bermakna tanpa perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
“Sehubungan itu, saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan setiap agenda khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Katanya, pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan tahun ini amat bertepatan kerana daerah berkenaan terkenal sebagai antara kawasan jelapang padi yang subur di Sabah.
“Daerah Papar bukan sahaja kaya dengan hasilnya, tetapi juga kaya dengan nilai budaya serta semangat kekitaan masyarakatnya yang berbilang kaum yang hidup dalam suasana aman dan harmoni.
“Inilah cerminan sebenar wajah Sabah yang kita banggakan,” katanya. – UTUSAN









