BATAM: Seorang ustaz yang sedang menyampaikan tazkirah di dalam Masjid Raya Baitusy Syakur, Batam, Kepulauan Riau, diserang individu tidak dikenali, kira-kira pukul 11.00 pagi tadi.
Lapor Suara.com, petugas masjid, Jafar memberitahu, ketika kejadian, sedang berlangsung pengajian yang disampaikan oleh Ustaz Abu Syed Chaniago kepada golongan wanita.
Katanya, pihak masjid belum mengenal pasti identiti penyerang, namun, individu tersebut didakwa mengalami gangguan penyakit jiwa.
“Ini diperkuat dengan keterangannya yang berbelit-belit, ketika pelaku ditangkap oleh jemaah masjid lain.
“Lelaki itu kelihatan kemas dan rapi ketika datang masjid. Bahkan, saya sempat melihat dia pergi ke tempat mengambil wuduk. Selepas itu, saya tidak tahu langsung dia sudah masuk ke dalam,” katanya.
Suspek kini berada di Balai Polis Batu Ampar dan pengurus masjid serta ustaz tersebut turut hadir bagi diambil keterangan.










