‘Saya minta maaf, tiada niat melarikan diri’ - Utusan Malaysia

‘Saya minta maaf, tiada niat melarikan diri’

ASHRAF GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI: Buat pertama kali­nya bekas Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani tampil membuat kenyataan dan menjelaskan beliau tidak berniat ‘meninggalkan rakyatnya’.

Ashraf mengambil peluang membuat permohonan maaf kepada rakyat Afghanistan selepas Taliban menawan Kabul, hari sama beliau meninggalkan negaranya.

Kenyataan yang disiarkan dalam Twitter menjelaskan, Ashraf terpaksa mengambil tindakan tersebut pada 15 Ogos lalu bagi memastikan keselamatan di kawasan istana serta mengelakkan risiko pertumpahan darah sekiranya berlaku pertempuran.

“Meninggalkan Kabul adalah keputusan paling sukar dalam hidup saya. Namun, saya percaya itu sahaja cara bagi mengelakkan pertempuran bersenjata sekali gus menyelamatkan ibu negara itu dan nyawa enam juta penduduk,” jelasnya seperti dilaporkan Al-Jazeera.

Ashraf turut mengambil ke­sem­patan mena­fikan dakwaan be­liau membawa jutaan dolar keluar dari negara semasa melarikan diri.

Malah beliau memberitahu bersedia disiasat bagi membuktikan dakwaan tersebut.

Dakwaan itu timbul selepas bekas Duta Afghanistan di Tajikistan, Zahir Aghbar mendakwa Ashraf melarikan AS$169 juta (lebih RM700 juta) semasa meninggalkan Afghanistan.

Ashraf kini berada di Abu Dhabi dan terpaksa pasrah apabila gagal membawa keamanan dan kemakmuran ke negara yang dilanda perang selama dua dekad.

“Dengan penyesalan yang mendalam, saya kesal penta­d­biran negara berakhir dengan tragedi sama seperti sebelum ini.

“Saya mohon maaf kepada rakyat Afghanistan kerana tidak dapat mengakhiri pentadbiran dengan cara berbeza seperti sebelum ini,” jelasnya.

Terdahulu Bernama memetik laporan Sputnik, pemerintah Afghanistan akan melibatkan kaum wanita pada masa hadapan, kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.

Selasa lalu, Taliban mengumumkan pemerintah sementara Afghanistan, yang tidak membariskan menteri wanita.

“Pemerintah ini adalah sementara. Kami akan ada jawatan untuk wanita dengan menghormati undang-undang syariah. Ini adalah permulaan tetapi kami akan mencari kerusi untuk wanita. Mereka boleh menjadi sebahagian da­ripada pemerintah. Ini akan dilakukan di peringkat ke­dua,” kata Mujahid membe­ri­tahu siaran BFMTV.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya