SINGAPURA: Seorang wanita yang didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut mengaku tidak menghadiri sesi janji temu ujian Covid-19.
Berita Mediacorp melaporkan, dia sebaliknya keluar rumah untuk membeli-belah dan bertemu dengan teman lelakinya di kediaman lelaki tersebut walaupun sedang cuti sakit.
Janani Kalaychelvam, 24, mengaku bersalah atas satu tuduhan melanggar peraturan Covid-19. Dua tuduhan serupa juga akan diambil kira semasa keputusan hukuman pada 5 Oktober nanti.
Mahkamah diberitahu, Janani pergi ke Klinik Keluarga OneDoctors di Yishun Ring Road pada petang, 30 Januari lalu.
Dia mengadu sakit tekak, batuk dan sesak nafas selama beberapa hari.
Oleh kerana klinik tersebut sudah berhenti mengambil sampel ujian swab pada waktu itu, Janani diberitahu supaya datang lagi pada pagi 1 Februari untuk mengambil ujian Covid-19.
Menurut dokumen mahkamah, doktor menjelaskan, beliau biasanya akan memberikan sijil cuti sakit (MC) selama tiga hari untuk pesakit yang mengambil ujian tersebut di klinik.
Namun, oleh kerana Janani akan datang lagi dua hari kemudian, doktor akan memberikannya MC selama lima hari.
Doktor turut memberitahunya bahawa dia tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh cuti sakit kecuali untuk mendapatkan rawatan atau pergi ke klinik.
Meskipun akur dengan syarat itu, Janani menaiki teksi ke rumah rakannya untuk makan malam di sana dan dia berada di kediaman tersebut sehingga sekitar 3.50 pagi, menurut dokumen mahkamah.
Pada 1 Februari, dia tidak menghadiri sesi ujian swab dan keluar rumah selama lebih lima jam. Dia pergi membeli-belah di Northpoint City sekitar pukul 7.50 malam sebelum menaiki teksi ke rumah teman lelakinya.
Teman lelaki dan ibunya berada di rumah ketika itu dan Janani berada di sana sehingga sekitar 1 pagi. Dia juga tidak memakai pelitup muka dan tidak memberitahu sesiapa pun mengenai MC yang diberikan kepadanya, menurut dokumen mahkamah.
Janani akhirnya tidak diuji positif Covid-19.
Peguam belanya, Tan Jun Yin dari Trident Law meminta sedikit masa untuk mengemukakan rayuan, sambil menambah bahawa pihak pendakwa tidak akan menyatakan penyerahan hukuman mereka secara terbuka.
Sesiapa yang didapati bersalah kerana melanggar undang-undang Covid-19 boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.









