JAKARTA: Indonesia melahirkan kebimbangan mengenai ‘konflik persenjataan’ di rantau ini selepas negara jiran, Australia mengumumkan rancangan memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.
Tempo melaporkan, ia sebagai sebahagian daripada kesepakatan baharu yang dibentuk antara negara itu bersama Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) baru-baru ini.
Dikenali sebagai AUKUS, pakatan baharu itu akan membantu Australia memperoleh teknologi untuk membangunkan kapal selam berkuasa nuklear bagi berdepan kekuatan China.
Kapal selam itu dikatakan tidak membawa senjata nuklear.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan kebimbangan Indonesia terhadap ‘perlumbaan’ atau ‘persaingan’ persenjataan dan kekuatan di rantau ini.
Kementerian Luar meminta Australia mempertahankan komitmennya terhadap kestabilan serantau, selain menghormati undang-undang antarabangsa.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison memberitahu radio ABC, Menteri Pertahanan dan Menteri Luar Indonesia telah dimaklumkan mengenai rancangan itu.
Beliau juga berhasrat untuk menghubungi Presiden Joko Widodo tidak lama lagi.
Ketegangan semakin memuncak di Laut China Selatan, laluan strategik dengan kekayaan minyak dan gas, ketika negara-negara serantau berusaha menolak tuntutan maritim China.
Tentera Laut Indonesia meningkatkan rondaan di sekitar Pulau Natuna minggu ini setelah kapal China dan AS dikesan di perairan berkenaan.
Nelayan di Natuna mengatakan melihat enam kapal China, termasuk kapal perang, di perairan itu minggu ini dan juga kapal AS.










