SADAO (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand menggagalkan cubaan menyeludup bunga ganja bernilai kira-kira RM3.67 juta ke Malaysia selepas menemukan bahan larangan itu yang disorokan di tepi batu penanda sempadan 15D/32 di Ban Ton Payom, Mukim Padang Besar dekat sini semalam.
Dadah seberat 58 kilogram (kg) itu ditemukan pada pukul 6.30 pagi hasil maklumat risikan.
Komander Pasukan Petugas Rejimen Infantri Ke-5, Kolonel Thaweeporn Khanathong berkata, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan lima beg hitam besar tepi pagar sempadan Malaysia yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bunga ganja berat 58 kg.
“Semasa serbuan, lasukan operasi turut mengesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, kedua-duanya suspek berjaya meloloskan diri. Pemerhatian mendapati, seorang suspek telah melarikan diri ke Malaysia melalui pagar yang telah dipotong,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Thaweeporn memberitahu, seorang lagi berpatah balik ke arah Thailand.
Katanya, penyeludupan bahan terlarang di sempadan Thailand-Malaysia terus berlaku berikutan jurang harga yang ketara antara kedua-dua negara.
“Bunga ganja di Thailand berharga kira-kira 40,000 baht sekilogram (RM4,893), tetapi jika diseludup dan dijual di Malaysia, harganya boleh mencecah 500,000 hingga 600,000 baht sekilogram (RM61,174 hingga RM73,409),” ujarnya.
Thaweeporn berkata, kawasan sempadan di Daerah Sadao yang rata, dan beberapa bahagian pagar sempadan hanya diperbuat daripada dawai berduri, menjadikannya mudah untuk dipotong atau memusnahkannya bagi mewujudkan titik masuk dan keluar.-UTUSAN










