NEW DELHI: Hampir semua kawasan kecuali bandar Jaipur mengalami penutupan internet selama 12 jam bagi membolehkan Peperiksaan Kelayakan Rajasthan untuk Guru (REET) diadakan.
Perkhidmatan itu diberhentikan dari pukul 6 pagi sehingga 6 petang di Rajasthan, semalam.
Lapor Times of India, keputusan drastik itu dibuat bagi mengelak mana-mana individu yang mengambil peperiksaan tersebut daripada menipu.
Langkah itu menyusahkan sebahagian besar penduduk Rajasthan antaranya pelajar gagal mengikuti kelas dalam talian, sesi konsultasi dan perubatan klinik tergendala serta peniaga dalam talian mengalami kerugian.
Antara penduduk yang terjejas merupakan Sunita Singhal yang juga seorang pesakit diabetes.
Wanita itu membeli pakej rawatan diabetes dan diwajibkan untuk menghadiri sesi konsultasi selama dua jam setiap hari.
“Saya terlepas sesi konsultasi klinik yang keempat disebabkan internet disekat.
“Bagi kami, ini adalah kerugian besar, malah kebanyakan keluarga di Rajasthan juga tidak dapat menyertai mana-mana majlis sosial dalam talian,” katanya.
Situasi sama turut dialami oleh seorang lagi penduduk, Ankit Saxena yang telah berdaftar untuk kursus korporat dari sebuah agensi di Amerika Syarikat (AS).
“Saya sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadiri kursus tersebut.
“Saya mendapat tahu mengenai isu ini seminggu lalu dan ketika saya tanya pihak berkuasa tempatan mereka menyatakan itu hanya khabar angin.
“Semalam, saya menyedari perkhidmatan internet tergendala dan ini amat mengganggu saya. Mereka sepatutnya membuat pengumuman lebih awal,” kata Ankit yang merupakan pakar teknologi maklumat.










