KENYATAAN Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Prof. Emeritus Dr. Fredolin Tangang (Felo Akademi Sains Malaysia) menjangkakan Malaysia pada tahun ini bakal merekodkan suhu dunia paling panas susulan fenomena El-Nino dan kesan pemanasan global.
Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat (AS) turut meramalkan El-Nino berlaku antara Julai hingga Ogos, berkembang sehingga penghujung tahun dan awal 2027. Ia akan menurun pada Mac hingga April sebelum berakhir pada Mei tahun hadapan.
El-Nino merujuk keadaan pemanasan alam sekitar yang ekstrim dan melebihi purata suhu semasa permukaan laut.
Indikator suhu ekstrem ini merujuk kepada peningkatan suhu persekitaran melebihi 37 darjah Celsius dan berupaya meningkat sehingga 40 darjah Celsius dengan kelembapan udara persekitaran rendah serta kering.
Tanda El-Nino akan berlaku ialah apabila lapisan termoklin di bahagian timur Lautan Pasifik akan melemahkan proses penyejatan air sejuk ke permukaan laut. Keadaan tersebut akan meningkatkan suhu laut, seterusnya memulakan kemunculan tanda El-Nino.
Implikasi fenomena ini sangat ketara terhadap sumber air dan keselamatan makanan. Paras empangan berisiko menurun, tanaman terjejas akibat kekurangan hujan, manakala kes strok haba dan dehidrasi dijangka meningkat.
Cuaca kering turut meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan dan jerebu. Hakikat ini menunjukkan krisis iklim bukan lagi ramalan masa hadapan tetapi realiti yang sedang dihadapi.
PERINGATAN ILAHI
Al-Quran menegaskan secara jelas terhadap perkaitan antara perbuatan manusia dan kerosakan alam yang berlaku.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. (Surah al-Rum: 41)
Ayat tersebut memberi isyarat bahawa ketidakseimbangan alam sering berpunca daripada sikap manusia yang melampaui batas. Eksploitasi sumber, pencemaran dan pembaziran menjadi faktor utama yang mempercepatkan krisis iklim.
Para ulama berpandangan bahawa bencana berfungsi sebagai peringatan agar manusia kembali kepada ketaatan dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT sebagai pencipta dan pemilik seluruh alam.
UJIAN DAN HIKMAH
Fenomena panas melampau tergolong sebagai ujian kehidupan yang membawa hikmah tersendiri dari sudut kesabaran dan keimanan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan; dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 155)
Kesabaran dan kebergantungan kepada Allah menjadi asas menghadapi ujian ini. Kemarau dan kepanasan pernah berlaku pada umat terdahulu serta menjadi sebab kepada seruan taubat dan peningkatan amal soleh.

TANGGUNGJAWAB KHALIFAH
Peranan manusia sebagai khalifah menuntut pengurusan alam secara berhemah dan bijaksana. Islam secara tegas melarang pembaziran serta menekankan keseimbangan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra’: 27)
Penggunaan air secara optimum, pengurangan pencemaran serta amalan lestari perlu dijadikan budaya. Kesedaran masyarakat terhadap isu perubahan iklim perlu diperkukuh melalui pendidikan dan dasar awam yang berkesan.
Usaha mitigasi seperti pengurusan empangan, teknologi pertanian tahan kemarau serta sistem amaran awal perlu digerakkan secara menyeluruh.
Pendekatan ini selari dengan konsep ikhtiar dalam Islam yang menuntut usaha sebelum tawakal.
SOLAT SUNAT ISTISQA’ SEBAGAI IKHTIAR SPIRITUAL
Solat sunat istisqa’ menjadi amalan penting ketika berlakunya kemarau. Nabi SAW melaksanakan solat ini secara berjemaah sebagai tanda merendah diri kepada Allah SWT. Amalan ini disertai dengan istighfar, taubat, sedekah serta meninggalkan maksiat.
Hujan yang turun berkait rapat dengan keimanan dan ketakwaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat kepada kamu”. (Surah Nuh: 10-11)
Amalan tersebut mencerminkan pengakuan bahawa hanya Allah berkuasa mengatur alam dan menurunkan rahmat.
Demikianlah, fenomena El-Nino paling panas membawa peringatan besar terhadap manusia. Ujian ini menuntut kesedaran, keinsafan serta tindakan bersepadu antara usaha saintifik dan pendekatan spiritual.
Nilai Islam seperti taubat, berhemah, kesederhanaan dan tanggungjawab terhadap alam perlu dihayati secara menyeluruh. Amalan seperti solat sunat istisqa’ dan istighfar wajar dihidupkan sebagai usaha memohon rahmat Ilahi.
Kesungguhan memperbaiki diri dan memelihara alam menjadi kunci menghadapi cabaran ini. Harapan terletak pada perubahan sikap serta komitmen kolektif bagi memastikan keseimbangan alam terus terpelihara dan kehidupan diberkati.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
DR. Nik Airin Aqmar Nik Azhar ialah Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.










