MARANG: Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu menjalankan projek perintis tanaman ubi keledek manis di Kampung Serating di sini, bagi menjana pendapatan ahlinya.
Pengerusi persatuan itu, Mohd. Fauzi Mansor berkata, projek tanaman itu yang dimulakan awal tahun ini membabitkan sebanyak 2,000 polibeg anak pokok ubi keledek di kawasan seluas 2.02 hektar.
Katanya, projek pertama kali dilaksanakan itu melibatkan tiga peserta untuk permulaan.
“Kami pilih tiga peserta iaitu seorang cacat penglihatan, seorang rabun dan seorang lagi mengalami masalah pendengaran.
“Projek ini lebih kepada mencungkil kemahiran orang istimewa ini dalam bidang pertanian.
“Jika ia berjaya, kita mahu mereka mengusahakannya di rumah masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mohd. Fauzi berkata, tanaman itu menggunakan kaedah 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai yang sesuai dengan kekangan dihadapai mereka.
Malah katanya, kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membantu peserta menguruskan tanaman menggunakan cip yang boleh disambungkan ke telefon peserta.
“Perisian dibangunkan oleh UniSZA ini boleh digunakan orang buta dan pekak melalui telefon pintar yang dibantu perisian yang membaca maklumat kepada orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang tertera di skrin telefon.
“Cip yang dipasang di kebun memudahkan peserta mengetahui keadaan tanaman seperti jadual penyiraman air dan baja,” katanya.
Menurutnya, projek tanaman itu melibatkan tanah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dipinjamkan kepada Pertis.
“Jika projek ini berjaya tuai hasil dalam tempoh empat bulan akan datang, dijangka hasil yang diperoleh mencecah RM10,000. Pihak UniSZA juga akan memborong hasil tanaman ini nanti,” katanya.-UTUSAN.










