ARAU: Lebih 750 tan metrik harumanis di Perlis telah terjual dengan anggaran nilai RM18.75 juta dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Pengunjung yang bercuti ke negeri ini dan menghantar anak mereka ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau juga tidak melepaskan peluang membeli buah ikonik Perlis yang hanya boleh dinikmati setahun sekali itu.
Ia sekali gus memberi rezeki berganda kepada peniaga harumanis yang mampu menjual 500 kilogram sehingga satu tan metrik sehari pada cuti hujung minggu itu.
Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, peningkatan jualan turut dipengaruhi program atau majlis dianjurkan pelbagai pihak yang menarik kehadiran pengunjung ke Perlis.
“Selain itu, cuti umum dan hujung minggu yang panjang seperti Hari Raya Aidilfitri juga meningkatkan kehadiran pengunjung ke Perlis dan merancakkan jualan harumanis.
“Pasa masa sama, pembangunan sektor agropelancongan melalui penganjuran program lawatan ladang dan menikmati pelbagai menu berkaitan harumanis Perlis di ladang mewujudkan sumber pendapatan tambahan serta meningkatkan rantaian nilai kepada pengusaha tempatan.
“Ia seperti warung harumanis Hutan Temin dan Harumangi Bukit Chuping,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Hafizuddin berkata, jualan harumanis secara dalam talian juga menyumbang kepada peningkatan jualan selain syarikat penghantaran memberikan perkhidmatan terbaik dengan jaminan sampai kepada pelanggan dalam tempoh tiga hari.
“Melihat kepada sambutan yang cukup hebat ini, kami menyasarkan pengeluaran harumanis Perlis pada musim ini boleh mencecah sehingga 2,966 tan metrik dengan nilai keseluruhan RM74.16 juta.
“Pengeluaran harumanis Perlis bagi musim ini dijangka berterusan sehingga minggu ketiga bulan Jun nanti.
“Bagaimanapun, tempoh pengeluaran boleh berubah bergantung kepada keadaan cuaca, dan proses kematangan buah yang berpotensi memendekkan tempoh tuaian,” katanya.-UTUSAN.










