SAYA ingin mengucapkan selamat berangkat ke tanah suci kepada 31,600 jemaah haji Malaysia yang menerima panggilan Ilahi untuk menunaikan fardu haji bagi tahun ini.
Setiap jemaah perlu bersyukur kerana setelah sekian lama menunggu, tahun ini tiba giliran untuk menunaikan ibadah Rukun Islam yang kelima.
Bagi pihak kerajaan khususnya Lembaga Tabung Haji telah membuat persiapan secukupnya untuk memastikan para jemaah dapat melaksanakan ibadat tersebut dengan selamat dan sempurna.
Para jemaah terbabit dijadual memulakan penerbangan pertama ke tanah suci pada 18 April dan penerbangan akhir pada 20 Mei sementara penerbangan balik bermula 4 Jun dan berakhir 30 Jun 2026.
Pihak Malaysia melantik 564 petugas haji untuk memberi perhatian kepada para jemaah haji sepanjang masa mereka berada di tanah suci tersebut.
Para petugas mula bertolak ke tanah suci pada 9 April terdiri daripada 339 petugas Tabung Haji (TH), anak syarikat serta agensi-agensi luar serta 225 petugas perubatan dari Kementerian Kesihatan termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat.
Menjadi tugas dan tanggungjawab setiap jemaah haji pula untuk menjaga nama baik negara.
Mereka perlu mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi termasuk berkaitan isu politik dan peraturan-peraturan mengerjakan ibadah haji.
Ekoran percaturan politik dan peperangan yang sedang berlaku di rantau Asia Barat, para jemaah haji Malaysia perlu mengelak dari menunjukkan sokongan kepada mana-mana pihak.
Jangan sama sekali menyokong sesebuah negara yang terbabit dengan peperangan tersebut.
Elakkan diri dari membawa apa-apa gambar atau risalah yang menunjukkan mereka menyokong sesuatu pihak kerana jika dijumpai oleh pihak berkuasa Arab Saudi, boleh memberi kesan kepada ibadat dan menyusahkan para jemaah sendiri.
Ingatlah, kedatangan mereka di tanah suci adalah untuk mengerjakan amal ibadat, jangan sia-siakan wang yang disimpan sekian lama hanya kerana masalah yang ditimbulkan oleh para jemaah sendiri.
Selamat menunaikan ibadah haji dengan mendapat haji yang mabrur. Selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air. Insya-Allah.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










