Berbaloikah segala ‘dalil’ Amerika Syarikat? - Utusan Malaysia

Berbaloikah segala ‘dalil’ Amerika Syarikat?

SERANGAN terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York yang mengorbankan ribuan nyawa. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Sejak Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan ‘perang terhadap keganasan’ secara global, sebagai tindak balas terhadap serangan 11 September 2001 di New York dan Washington, misi dan matlamat usaha tersebut telah melalui ‘pembaharuan’ kerana tingkat dan ruang lingkup ancaman berubah selama beberapa dekad.

Al-Jazeera dalam ruangan analisisnya memetik kenya­taan bekas Presiden AS, George W. Bush di Kongres, beberapa hari selepas serangan itu pada 20 September 2001 sebagai berkata: “Perang terhadap keganasan bermula dengan al-Qaeda, tetapi tidak berakhir di sana”.

Bekas Presiden itu juga berkata: “Ia tidak akan ber­akhir sehingga setiap kumpulan pengganas ditemukan, dihenti dan ditewaskan”.

Bagaimanapun, 20 tahun kemudian, selepas dua perang diketuai AS di Iraq dan Afghanistan yang mengorbankan berpuluh-puluh ribu nyawa penduduk awam dan trilion dolar dibelanjakan, ancaman serangan terhadap AS masih ‘membuak-buak’, walaupun kelihatan berbeza berbanding pada 2001.

Di sudut lain, kumpulan yang menggunakan taktik pembunuhan beramai-ramai semakin berkurangan sejak bertahun-tahun selepas itu. Namun matlamat kuasa besar dunia itu untuk mengekang mereka tetap tidak tercapai.

Organisasi yang mempunyai kekuatan untuk melancarkan serangan ke atas kedaulatan AS seperti al-Qaeda pada 9/11 mungkin telah dikurangkan, pecah atau dilemahkan, tetapi kumpulan dengan ideologi yang serupa telah tersebar luas ke bahagian lain dunia, terutama di Afrika, Asia Barat dan Asia.

Walaupun banyak pemim­pin al-Qaeda yang menjadi sasaran AS berikutan serangan 9/11 ditangkap atau dibunuh – paling terkenal Osama bin Laden, yang terbunuh dalam serangan Amerika di Pakistan pada 2011 – al-Qaeda tetap bertahan, dengan kumpulan gabungannya di 17 negara.

“AS telah berdepan, berulang kali selama 20 tahun ini, bagaimana negara ini mena­ngani ancaman keganasan di sebuah wilayah, dan kemudian kumpulan yang dilabel pengganas oleh Washington itu berhijrah ke wilayah lain,” jelas Bruce Hoffman, Felo Kanan Keselamatan Dalam Negeri, Majlis Hal Ehwal Luar.

Menurut beliau, tanpa berpusat di satu bahagian dunia, faktor geografi kumpulan itu berada menjadikan mereka lebih mencabar untuk dijejaki.

Jelasnya, kumpulan itu tidak memiliki kemampuan untuk mengatur serangan berskala besar terhadap AS, setanding dengan 9/11 tetapi ideo­logi mereka yang luas secara terus-menerus mengancam Amerika melaksanakan tujuan yang dinyatakan Bush iaitu membasmi keganasan.

“Mereka berada di lebih banyak tempat berban­ding sebelum 2001,” kata Seth G Jones, Pengarah Program Kese­lamatan Antarabangsa di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa.

IRAQ JADI MANGSA AS
Perkembangan terkini, ter­utama dengan keluarnya tentera AS dari Afghanistan, dapat meningkatkan kemampuan jaringan itu untuk berkembang.

Pakar mendakwa pengambilalihan Taliban terhadap Afghanistan berikutan penarikan pasukan tentera AS baru-baru ini dapat meningkatkan kemampuan kumpulan anti-AS untuk mengatur dan berkembang dengan cara yang tidak mereka dapat selama bertahun-tahun.

Walaupun kemampuan kumpulan-kumpulan itu untuk berkembang semula di Afghanistan masih belum dapat dilihat, risiko untuk menjadi tempat perlindungan yang aman tanpa kehadiran AS yang dominan telah meningkat de­ngan ketara.

“Munculnya pemerintah Ta­liban meningkatkan prospek tentang Afghanistan kembali menjadi tempat perlindungan bagi kumpulan pengganas. Saya rasa kita berada di titik di mana kita mungkin mulai melihat kebangkitan orga­nisasi itu.

“Perang tidak berakhir de­ngan cara atau bentuk apa pun,” jelas Jones.

Taktik untuk memerangi kemungkinan serangan telah berubah, ketika negara-negara seperti AS mengetahui akan perkara itu dan ia tidak berkesan.

Pada 2001 dan tahun-tahun berikutnya, AS bertindak balas terhadap serangan sebahagian dengan melakukan pencerobohan tentera skala besar ke atas Afghanistan. Dalam kes perang di Iraq, AS menggunakan ‘perang melawan keganasan’ sebagai ‘menghalalkan’ untuk membenarkan pencerobohan.

ANCAMAN DOMESTIK
Selepas 20 tahun berlalu, kini, kebimbangan lebih mendesak kepada ancaman yang datang dari dalam (AS), bukan dari luar negara.

Ancaman domestik di AS meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutama melibatkan sayap kanan ketika pentadbiran bekas Pre­siden Donald Trump.

Laporan oleh Pejabat Perisikan Nasional AS yang dikeluarkan pada Mac lalu memberi amaran bahawa ‘ekstremisme domestik menimbulkan ancaman yang meningkat’.

Perkembangan ancaman domestik yang digabungkan dengan penyebaran kumpulan dikaitkan dengan al-Qaeda memastikan bahawa walaupun dua dekad usaha berterusan memerangi mereka sejak 9/11, serangan terhadap AS tetap menjadi perhatian berterusan.

“Sukar untuk melihat dunia hari ini dari Amerika Syarikat dan merasakan rasa selamat, keselamatan atau kepuasan apa pun. Ironinya adalah kita (AS) kurang selamat, memandangkan banyaknya ancaman terhadap hari ini,” kata Hoffman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN