PARIS: Paris menuduh Australia dan Amerika Syarikat (AS) berbohong mengenai ‘pembatalan kontrak Australia untuk membeli kapal selam buatan Perancis’, sambil menegaskan krisis besar sedang berlaku antara kedua-dua sekutu itu.
Jumaat lalu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron memanggil pulang duta ke AS dan Australia, sebagai tanda protes terhadap pembatalan kontrak projek kapal selam bersama Australia.
Ia tindakan yang belum pernah berlaku sebelum ini, sekali gus menunjukkan Paris berang dengan tindakan dua negara sekutu terbabit.
Bercakap kepada televisyen France 2, Menteri Luar, Jean-Yves Le Drian tidak memberi petunjuk bahawa Paris bersedia untuk membiarkan krisis itu reda, dengan menggunakan bahasa yang jelas tidak diplomatik terhadap Australia, AS dan Britain.
“Terdapat pembohongan, pendustaan, pelanggaran kepercayaan dan penghinaan besar,” tegasnya.
Beliau menggambarkan tindakan kerajaan memanggil pulang duta berkenaan untuk pertama kalinya dalam sejarah hubungan dengan negara-negara itu sebagai ‘sangat simbolik’ yang bertujuan menunjukkan rasa tidak senang Paris dan bahawa ada krisis serius di antara negara sekutu.
Semalam, Menteri Kewangan Australia, Simon Birmingham menegaskan negaranya telah memberitahu pemerintah Perancis ‘secepat mungkin, sebelum isu berkenaan menjadi perhatian umum’.
Katanya kepada ABC, ‘menjadi keputusan yang sukar’ untuk membatalkan perjanjian dengan Perancis.
Presiden AS, Joe Biden mengumumkan pakatan pertahanan Australia-AS-Britain dikenali AUKUS bagi memperluas teknologi kapal selam nuklear AS ke Australia serta pertahanan siber, kecerdasan buatan (AI) dan kemampuan tempur bawah laut.
Perjanjian itu secara meluas dilihat bertujuan menentang atau mengekang kebangkitan tenteraChina. – afp










