fbpx

AS berkabung memperingati mangsa tragedi 11 September

ORANG ramai menyaksikan `Tribute Light' sempena memperingati ulang tahun ke-20 serangan 11 September di New York. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) berkabung sempena ulang tahun ke-20 serangan 11 September di New York dan Washington yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa.

Malah, tragedi tersebut juga membantu AS membangun semula menjadi kuasa besar dunia seperti hari ini.

Sudah dua dekad lalu, kenangan 11 September 2001 masih jelas terpapar dalam memori semua warga AS.

Insiden itu dilihat sebagai peristiwa bersejarah bagi generasi baharu selepas serangan yang menggemparkan seluruh dunia.

Presiden Joe Biden menyertai ahli keluarga mangsa dalam upacara mengenang tragedi di tiga lokasi serangan yang dianggap sebagai momen perpaduan negara istimewa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Di Ground Zero, New York yang pernah menempatkan dua menara Pusat Dagangan Dunia (WTC), ahli keluarga membacakan hampir 3,000 nama mangsa yang terbunuh dalam serangan tersebut.   

Orang ramai yang hadir bertafakur sebanyak enam kali iaitu bersamaan dengan masa dua menara WTC di New York diserang dan runtuh, serta detik serangan di Pentagon dan sebuah pesawat yang dirampas terhempas di Pennsylvania.

Seorang ahli keluarga mangsa, Monica Iken-Murphy yang kehilangan suaminya, Michael Iken, 37, di WTC berkata, upacara kali ini menjadi ulang tahun `kebangkitan’ bagi majoriti rakyat AS.

Namun, baginya, kesedihan itu tidak mudah dilupakan begitu sahaja.

“Saya rasa seperti insiden itu baharu sahaja berlaku,” katanya.

Seorang lagi ahli keluarga mangsa, Frank Siller kehilangan abangnya, Stephen yang merupakan anggota bomba di WTC menyifatkan upacara itu bagai menghidupkan kembali memori. 

“Ia seperti Pearl Harbour. Orang yang tidak lagi hidup tidak mempunyai perasaan yang sama dengan mereka yang masih hidup. 

“Sudah tentu, Amerika tidak akan melupakan insiden Pearl Harbor dan tragedi 11 September,” katanya. 

Serangan di WTC menyaksikan dua pesawat yang dirampas pengganas merempuh dua menara yang terletak di pusat bandar perekonomian sebelum kedua-duanya runtuh.

Tragedi itu mengorbankan 2,977 orang dengan seramai 2,753 daripada mangsa insiden runtuhan dua menara berkembar.

Jumlah mangsa yang terkorban adalah lebih besar daripada tragedi Pearl Harbour pada tahun 1941.

Di Pentagon, sebuah sebuah pesawat merempuh satu bahagian daripada bangunan menyebabkan 184 penumpang kapal terbang yang dirampas dan individu di situ, maut.

Di Shanksville, Pennsylvania, penumpang yang menyedari pesawat dinaiki mereka, dirampas, bertindak melawan pengganas, menyebabkan pesawat yang dikatakan mahu disasarkan ke Bangunan Capitol, Washington, itu terhempas. – AGENSI/AFP

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI