‘Jangan takut, mari pulihkan Afghanistan’ - Utusan Malaysia

‘Jangan takut, mari pulihkan Afghanistan’

PENDUDUK Afghanistan memanjat badan pesawat ketika menunggu untuk keluar dari negara itu di lapangan terbang Kabul. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Taliban semalam mengisytiharkan pengampunan kepada semua pegawai kerajaan Afghanistan dan meminta mereka kembali berkhidmat.

Tindakan itu dilakukan dua hari selepas Taliban menguasai Afghanistan dalam tempoh 10 hari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan tersebut, semua pegawai kerajaan sebelum ini tidak perlu berasa takut terhadap kepemimpinan Taliban dan khidmat mereka diperlukan untuk membangunkan semula negara ini.

“Pengampunan untuk semua pegawai kerajaan sudah diumumkan, maka anda perlu kembali bekerja dengan penuh keyakinan dan dengan satu misi iaitu membangunkan semula Afghanistan,” jelas kenyataan itu.

SEJUMLAH penduduk Afghanistan beratur di pos sempadan Afghanistan-Pakistan di Chaman untuk pulang semula ke negara asal mereka. – AFP

 

Britain tawar suaka

Dalam pada itu, puluhan ribu penduduk Afghanistan akan ditawarkan suaka di Britain di bawah pelan kecemasan yang dilakukan oleh kerajaan United Kingdom (UK).

Golongan wanita dan kanak-kanak perempuan akan diberikan keutamaan di bawah program tersebut.

Program penempatan penduduk Afghanistan itu dijangka sama dengan projek yang membenarkan lebih 20,300 pelarian Syria masuk ke negara ini pada tujuh tahun lepas.

Jurucakap kerajaan UK menyatakan, semua pihak berharap kerajaan Afghanistan tidak akan hancur dan terus membangun dengan baik.

Barisan menteri Kabinet termasuk Menteri Luar, Dominic Raab dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Britain, Priti Patel akan menyiapkan pelan skim tersebut sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri Boris Johnson.

 

Biden bersuara

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bersuara buat pertama kali mengenai krisis Afghanistan selepas keputusannya mengundurkan pasukan tentera dari negara itu didakwa menyebabkan konflik ini berlaku.

Biden menjelaskan, keputusannya itu adalah hasil daripada komitmen kepada tentera AS dan menegaskan beliau kekal dengan pendiriannya.

“Misi AS di Afghanistan bukan untuk membangunkan negara itu, sebaliknya bertujuan membanteras pengganas, selain saya mahu semua tentera kita di sana dapat pulang dengan selamat,” ujarnya.

 

Ceroboh Uzbekistan

Sebanyak 22 pesawat tentera dan 24 helikopter membawa 548 tentera Afghanistan menceroboh ruang udara Uzbekistan pada Sabtu dan Ahad lalu.

Tentera Afghanistan memaklumkan mereka tidak mempunyai pilihan selain melarikan diri selepas Taliban menguasai negara itu.

Kementerian Pertahanan Uzbekistan sebelum itu mengeluarkan kenyataan melarang pesawat tentera Afghanistan menceroboh ruang udara negaranya berhampiran wilayah Surxondaryo pada Ahad lalu. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN