Hotel Hilton dibina di bekas tapak masjid Xinjiang - Utusan Malaysia

Hotel Hilton dibina di bekas tapak masjid Xinjiang

KANAK-KANAK bermain di luar pekarangan Masjid Id-Kah di Kashgar, Xinjiang. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Suruhanjaya Kongres Amerika Syarikat (AS) membantah penglibatan Hilton Worldwide dalam pembinaan hotel di tapak masjid yang diruntuhkan oleh pihak berkuasa China di Xinjiang.

Menerusi surat kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hilton Worldwide Holdings, Christopher Nassetta, Ahli Senator Parti Demokrat, Jeff Merkley dan Ahli Kongres, Jim McGovern menzahirkan kebimbangan mengenai laporan projek Hampton oleh hotel Hilton yang sedang dibina di tapak masjid yang dirobohkan pada 2018.

“Tapak itu adalah lambang kepada kempen kerajaan China yang meluaskan pemusnahan agama yang dianuti oleh etnik Uighur dan kawasan kebudayaan serta menghapuskan pegangan mereka,” tulis surat itu.

Washington menjelaskan penduduk minoriti Islam di wilayah itu menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.

Kajian pertubuhan bukan kerajaan sebelum ini mendapati pihak berkuasa Xinjiang memusnahkan 16,000 masjid sejak beberapa tahun lalu.

“Hilton tidak patut membenarkan namanya digunakan untuk mempromosi penghapusan dan penindasan budaya jutaan etnik Uighur yang tinggal di Xinjiang,” katanya.

CAIR GESA BATAL PROJEK

Jawatankuasa Hubungan Amerika-Islam (CAIR) minggu ini menggesa pemegang taruh Hilton melihat secara teliti mengenai rancangan pembinaan hotel itu.

CAIR yang merupakan organisasi penyokong Islam terbesar di AS berkata, hotel itu adalah francais pembangunan yang dipantau oleh firma China, Huan Peng Hotel Management yang dilaporkan membeli tanah sebagai lot kosong menerusi lelongan awam.

Firma itu berjanji akan mematuhi semua peraturan tempatan, pihak berkuasa dan piawaian pembangunan jenama Hilton.

CAIR sebelum ini menggesa Hilton Worldwide Holdings membatalkan rancangan pembinaan hotel di wilayah Xinjiang.

Timbalan Pengarah CAIR, Edward Ahmed Mitchell berkata kepada Al-Jazeera, pihaknya sukar mempercayai penglibatan syarikat itu yang akan menjalankan perniagaan di lokasi yang pernah berlaku pembunuhan beramai-ramai.

China merancang untuk membina pusat komersial baharu mengandungi hotel Hilton di tanah yang pernah didirikan masjid.

Pengarah Hal Ehwal Kerajaan CAIR, Robert McCaw berkata, Hilton berpusat di AS namun dilihat mengabaikan kenyataan rasmi kerajaan AS kepada China yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam Uighur.

Pentadbiran Joe Biden turut menyuarakan isu hak asasi manusia di China semasa persidangan negara kumpulan G7 dengan pemimpin dunia lain. -AGENSI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya