Wanita 'where's your badge?' direman gagal pakai pelitup muka - Utusan Malaysia

Wanita ‘where’s your badge?’ direman gagal pakai pelitup muka

GAMBAR yang tular di media sosial menunjukkan Phoon Chiu Yoke enggan memakai pelitup muka biarpun diminta berkali-kali oleh penjaga penjarakan fizikal di Singapura. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang wanita yang pernah didakwa dengan beberapa tuduhan kerana gagal memakai pelitup muka, ditahan reman semalam, selepas didakwa dengan tuduhan baharu mengenai kesalahan sama.

Phoon Chiu Yoke, 54 tahun, didakwa dengan satu tuduhan baharu kerana gagal memakai pelitup muka di Mandarin Orchard sekitar pukul 3 petang pada 25 Jun lalu.

Dia melakukan kesalahan itu ketika diikat jamin atas beberapa tuduhan serupa, dengan syarat-syarat khusus memberi amaran kepadanya supaya jangan mengulangi kesalahan berkenaan.

Ikat jamin Chiu Yoke sebanyak S$12,000 ditarik balik oleh hakim daerah, semalam. Dia akan berdepan satu lagi sidang pra-perbicaraan pada esok.

Berita Mediacorp melaporkan, Chiu Yoke kini berdepan 22 tuduhan secara keseluruhannya, dengan kebanyakannya kerana gagal memakai pelitup sepanjang tempoh setahun sejak pertengahan 2020.

Jumaat lalu, dia dihadapkan ke mahkamah untuk sidang pra-perbicaraan. Hakim mengarahkannya kembali ke mahkamah pada 13 Ogos untuk perbicaraan mengenai bagaimana dia mahu meneruskan dengan kes tersebut.

Sebelum ini, Chiu Yoke memberitahu mahkamah bahawa tuduhan-tuduhan terhadapnya seharusnya digugurkan sambil merujuk kepada ‘kekebalannya sebagai rakyat’ dan bekas pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). Dia juga berkata mengalami ekzema dan keadaan-keadaan perubatan lain termasuk sesak nafas.

Bagi setiap tuduhan melanggar Perintah Kawalan Covid-19, dia boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Jika dia dianggap sebagai pesalah berulang, dia boleh dihukum penjara dan didenda dua kali ganda. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN